KUALA LUMPUR 22 April - Malaysia perlu mengambil langkah segera untuk meningkatkan kualiti dan skala syarikat bermodal besar serta memperluas penyertaan ke sektor pertumbuhan tinggi, ketika saham tempatan semakin hilang kepentingan dalam portfolio pelabur global.
Walaupun Bursa Malaysia mencatat prestasi penyenaraian awam permulaan (IPO) yang kukuh pada 2025, sebahagian besar penyenaraian baharu terdiri daripada syarikat berskala kecil dalam sektor perindustrian dan pengguna, sekali gus mengehadkan pilihan pelaburan serta kepelbagaian pasaran, menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).
“Malaysia berisiko semakin dipinggirkan oleh pelabur pasif susulan pengurangan perwakilannya dalam indeks global utama,” menurut SC.
Kewujudan syarikat tersenarai Malaysia dalam indeks global utama, khususnya Indeks Pasaran Muncul MSCI, telah menunjukkan penurunan berterusan sejak 1988 apabila pasaran seperti China, Taiwan, India dan Korea Selatan berkembang lebih pantas serta meraih bahagian lebih besar dalam dana pelabur global.
Indeks berkenaan menjadi rujukan utama pengurus dana dan pelabur antarabangsa, yang akan membeli atau menjual saham bagi meniru prestasi penanda aras tersebut.
Saham teknologi maklumat pula membentuk sebahagian besar indeks global, manakala saham utama Malaysia didominasi sektor tradisional seperti perkhidmatan kewangan dan komoditi. Situasi ini mengurangkan daya tarikan kepada pelabur antarabangsa serta mengehadkan aliran modal dan kecairan pasaran.
Pasaran kurang kepelbagaian sekat aliran masuk pelabur institusi
Syarikat kecil dan saham kurang cair juga sering dikecualikan daripada pertimbangan pelabur institusi.
“Ini mengukuhkan keperluan untuk Malaysia memperkukuh asas pasaran dan negara secara proaktif bagi menyokong aspirasi mencapai status negara maju, seterusnya meningkatkan kedudukan dalam pasaran antarabangsa serta meluaskan akses kepada asas modal global yang lebih mendalam dan pelbagai,” kata SC.
Dalam jangka pendek, pasaran modal Malaysia dilihat disokong oleh asas makroekonomi yang kukuh, prestasi korporat yang baik, kecairan domestik yang mencukupi serta infrastruktur pasaran yang mantap, menurut pengawal selia itu.
Selain itu, pelonggaran dasar monetari global yang berpotensi meningkatkan aliran dana portfolio asing ke pasaran pesat membangun seperti Malaysia, serta peningkatan pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI), dijangka menyokong pasaran modal negara pada 2026, menurut SC. - DagangNews.com








