Malaysia perkukuh jejak global menerusi MIAPEX & AICOVE 2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia perkukuh jejak global menerusi MIAPEX & AICOVE 2025

Ribuan pengunjung membanjiri dewan pameran di MIECC sepanjang acara tiga hari itu, apabila MIAPEX dan AICOVE 2025 menampilkan yang terbaik daripada industri automotif dan kenderaan komersial Malaysia — daripada inovasi terkini hinggalah peluang rangkaian perniagaan bertaraf global.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 30 Okt - Aspirasi Malaysia untuk muncul sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan automotif global semakin menyerlah apabila Pameran Automotif Antarabangsa Malaysia (MIAPEX) 2025 dan Automotive International Commercial Vehicle Exhibition (AICOVE) 2025 melabuhkan tirai dengan penyertaan rekod daripada pempamer serta pembeli antarabangsa.

 

Kedua-dua acara yang berlangsung di Selangor Mines International Exhibition & Convention Centre (MIECC) dari 24 hingga 26 Oktober lalu berjaya mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab automotif serantau dengan menumpukan kepada eksport, teknologi e-mobiliti dan kerjasama antarabangsa.

 

Memasuki edisi kelima, MIAPEX 2025 sekali lagi membuktikan reputasinya sebagai antara pameran automotif dan alat ganti paling berpengaruh di rantau ini. Diadakan serentak dengan AICOVE 2025, acara berkenaan menerima sambutan luar biasa daripada pemain industri yang mempamerkan pelbagai inovasi dalam keseluruhan rantaian nilai automotif dan kenderaan komersial.

 

Lebih 350 gerai pameran disertai syarikat dari Malaysia, Jepun, China, India, Taiwan, Singapura dan Jerman, memperlihatkan pelbagai produk merangkumi komponen automotif, trak, aksesori kereta, alat ganti kenderaan berat, peralatan bengkel serta teknologi automotif dan e-mobiliti terkini.

 

Pengunjung perdagangan dan pembeli hadir dari serata dunia termasuk Timur Tengah, Amerika Syarikat, Amerika Selatan, Eropah, Asia dan Australia, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab automotif yang pesat berkembang di rantau ASEAN.

 

Penyertaan aktif pelbagai persatuan automotif utama turut memberikan nilai tambah besar kepada acara ini antaranya:

  • Malaysia Trucking Federation (MTF)

  • Selangor and Kuala Lumpur Trucking Association (SEKLTA)

  • The Selangor and Federal Territory Engineering and Motor Parts Traders Association (EMPTA)

  • Federal Territory & Selangor Automobil Repairers' Association (FTSARA)

  • Federation of Automobile Workshop Owners' Association of Malaysia (FAWOAM)

  • Selangor and Federal Territory Tyre Dealers and Retreaders' Association (STDRA)

  • Malaysia Automotive Recyclers Association (MAARA)

  • Malaysia Commercial Vehicle Traders Association (MCVTA)

  • Malaysia Used Autoparts Traders' & Recyclers' Association (MUVATA) 

  • Persatuan Usahawan Automotif Prosper Malaysia.

 

Acara ini turut diiktiraf oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan disokong oleh Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), menggambarkan pengiktirafan kerajaan terhadap peranan MIAPEX dan AICOVE dalam mempromosikan perdagangan serta eksport automotif negara di peringkat antarabangsa.

 

Sepanjang tiga hari penganjuran, para peserta menyertai pelbagai aktiviti berimpak tinggi termasuk sesi rangkaian perniagaan (B2B networking), demonstrasi produk, forum teknikal serta sesi dialog khas bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) yang menarik perhatian besar daripada penggiat industri.

 

solar
Majlis Perasmian MIAPEX 2025 dan AICOVE 2025 di MIECC, The Mines, Selangor.

 


Pengerusi Penganjur, Jet Ong menzahirkan penghargaan atas sokongan padu yang diterima daripada semua pihak.

 

“Kejayaan MIAPEX dan AICOVE 2025 mencerminkan perpaduan dan kekuatan industri automotif Malaysia. Kami berbangga kerana berjaya mewujudkan sebuah platform di mana idea, perdagangan dan inovasi bertemu — mengangkat juara tempatan ke pentas global,” katanya.

 

Beliau menambah, objektif utama penganjuran iaitu membuka pasaran baharu serta memupuk kerjasama serantau untuk mentakrif semula penanda aras industri telah berjaya dicapai melalui penyertaan kukuh daripada pihak tempatan dan antarabangsa.

 

Dengan kejayaan penganjuran tahun ini, pihak penganjur MIAPEX dan AICOVE berhasrat untuk terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab perdagangan automotif ASEAN, melalui peluasan kerjasama antarabangsa serta penganjuran program industri berimpak tinggi pada masa akan datang.

 

MIAPEX dan AICOVE 2025 bukan sahaja menjadi mercu tanda kemajuan industri automotif negara, malah mencerminkan keyakinan global terhadap keupayaan Malaysia sebagai rakan dagang strategik dalam era mobiliti masa depan. - DagangNews.com