Malaysia percepat transformasi ekonomi sebagai kuasa utama pertumbuhan ASEAN - Amir Hamzah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia percepat transformasi ekonomi sebagai kuasa utama pertumbuhan ASEAN - Amir Hamzah

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Malaysia mempercepatkan transformasi ekonominya untuk meletakkan diri sebagai kuasa utama pertumbuhan ASEAN, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan


Beliau menambah, usaha berkenaan akan digembleng kerajaan melalui kerjasama serantau, reformasi fiskal dan perindustrian mampan bagi merebut kekuatan ekonomi kolektif rantau tersebut sendiri.    


Blok itu dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) keseluruhan AS$4 trilion (kira-kira RM16.78 trilion) dan populasi 700 juta mampu menyerlahkan lagi integrasi serantau Malaysia yang teguh.


Tambahan pula kata beliau, ASEAN menyumbang 26.6 peratus daripada perdagangan Malaysia dan lebih 10 juta ketibaan pelancong pada suku pertama 2025 dengan dua pertiga dari negara-negara jiran.


"Titik tumpuan utama ialah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang telah muncul sebagai magnet untuk pelaburan Malaysia," kata Amir Hamzah pada Persidangan Invest ASEAN Malaysia 2025.


Katanya, zon itu telah berjaya memperoleh RM16.7 bilion dalam pelaburan komited sejak dilancarkan pada Januari 2025, dengan sasaran kerajaan iaitu sebanyak RM100 bilion menjelang akhir tahun ini.


Zon Kewangan Khas Forest City dalam JS-SEZ tambahnya, turut menjanjikan prospek positif dengan struktur cukai 20 tahun sebanyak sifar peratus dan telah menarik minat daripada 32 firma.


Tinjauan ekonomi Malaysia juga katanya, kekal berdaya tahan, dengan pertumbuhan KDNK bagi 2025 diunjurkan pada 4.5 hingga 5.5 peratus, manakala pertumbuhan suku pertama sebanyak 4.4 peratus.


Perkembangan yang menggalakkan itu kata Amir Hamzah, dipacu oleh penggunaan swasta, pelaburan dan sektor perkhidmatan serta pembuatan, yang membantu dalam mengimbangi perdagangan yang sederhana.


Mengenai pembaharuan fiskal, beliau mengesahkan komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal, dan menyasarkan defisit kepada 3.8 peratus daripada KDNK pada 2025, berbanding 4.1 peratus pada 2024.


Katanya, langkah-langkah seperti rasionalisasi subsidi untuk petrol RON95 serta perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan bertujuan untuk meluaskan asas pertumbuhan berterusan hasil Malaysia.


Dalam sektor perindustrian dan tenaga, Amir Hamzah menyoroti tiga strategi nasional bagi kerajaan dapat membentuk masa depan Malaysia, termasuk Pelan Induk Perindustrian Negara 2030.


"Ia telah menarik pelaburan RM95 bilion dalam tempoh tujuh tahun, manakala Strategi Semikonduktor Nasional memperoleh RM55.8 bilion dalam pelaburan elektrik dan elektronik pada 2024," katanya.


Selain itu kata beliau, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional menyasarkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 70 peratus menjelang 2050, disokong pelbagai inisiatif projek utama.


Malaysia juga tambah Amir Hamzah, sudah meletakkan dirinya sebagai hab transit tenaga hijau ASEAN dengan menerajui grid tenaga boleh diperbaharui (RE) serantau melalui rangkaian grid negara ini. 


Pelaksanaan fasa pertama katanya, melibatkan pengeksportan RE dari Vietnam ke Singapura melalui grid Malaysia, dan meletakkan asas untuk model kerjasama tenaga rentas sempadan yang berskala.


Sejajar matlamat karbon neutraliti ASEAN, Malaysia telah melancarkan inisiatif kemampanan melalui Bursa Malaysia, termasuk platform Perisikan Kemampanan Berpusat untuk meningkatkan ketelusan.


Memandang ke hadapan kata Amir Hamzah, Belanjawan 2026 dan Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan datang dijangka meneruskan trajektori pembaharuan, keterangkuman serta daya tahan Malaysia.


"Dalam masa turun naik yang begitu besar, peluang ketika ini sudah terbuka dengan ketara, Malaysia dan ASEAN bersedia untuk menerima mereka bersama," tambah beliau. - DagangNews.com