Malaysia masih ada peluang peroleh kadar tarif AS lebih rendah, menurut penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia masih ada peluang peroleh kadar tarif AS lebih rendah, menurut penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Julai — Malaysia masih lagi berpeluang mengadakan rundingan dengan Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pengurangan kadar tarif sebelum 1 Ogos 2025, menurut penganalisis.

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research berkata, dengan baki 25 hari sebelum pelaksanaan bermula, tarif baharu 25 peratus ada kesan jangka pendek yang mungkin menjejaskan perdagangan.

 

Perkembangan ini katanya, namun juga boleh bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan kandungan nilai tempatan dalam isu pelaburan langsung asing (FDI) dan industri yang berorientasikan eksport.

 

Ia menambah, peralihan tersebut sebenarnya sejajar dengan matlamat Malaysia yang lebih luas untuk meningkatkan lagi rantaian nilai tambah dan memperdalamkan asas perindustriannya secara mantap.

 

“Pada masa sama, Malaysia perlu mengukuhkan hubungan perdagangan dengan banyak negara lain bagi meluaskan eksport dan mengurangkan pergantungan pasaran tunggal," kata HLIB Research dalam notanya.

 

Tambahnya, meskipun peningkatan perlindungan AS memberikan risiko penurunan kepada prospek ekonomi, tetapi Malaysia kekal secara relatif stabil serta berdaya tahan, daripada ketidaktentuan luaran.

 

Pendedahan perdagangan keseluruhan Malaysia kepada pasaran AS kata firma berkenaan, dianggarkan kira-kira 7.2 peratus daripada keseluruhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk negara ini.

 

Justeru, HLIB Research berkata, dengan tarif baharu AS itu, keanjalan permintaan diandaikan antara 0.7 dan 2.0, manakala potensi seretan pada KDNK kemungkinan antara 0.5 dan 1.5 mata peratusan.

 

"Bagaimanapun, memandangkan tempoh masa terhad untuk pelaksanaan tarif baharu, keanjalan mungkin terjejas berikutan kekurangan pengganti tersedia, yang boleh menyederhanakan kesan awal," katanya.

 

Sementara itu, MIDF Research berpendapat, Malaysia mungkin dapat mencapai persetujuan perjanjian berikutan beberapa rundingan terbaharu dengan wakil perdagangan AS sendiri pada bulan lepas.

 

Firma penyelidikan tersebut masih tidak pasti mengenai tahap tarif yang akan dipersetujui tetapi berdasarkan contoh perjanjian antara Vietnam dengan AS, kadar itu dijangka boleh lebih rendah.

 

"Kami percaya Malaysia boleh peroleh sekitar paras 15 peratus," katanya, sambil menambah bahawa isyarat pembangunan terkini ialah AS bersedia untuk meneruskan rundingan. - DagangNews.com