Malaysia Marine and Heavy Engineering peroleh kontrak EPC daripada PTTEP bina 11 platform minyak di Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia Marine and Heavy Engineering peroleh kontrak EPC daripada PTTEP bina 11 platform minyak di Sarawak

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Mac – Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Berhad (MHB), melalui anak syarikatnya Malaysia Marine and Heavy Engineering Sdn Bhd (MMHE) memperoleh kontrak daripada PTTEP Sarawak Oil Limited dan PTTEP HK Oil Limited untuk membina platform kepala telaga di luar pesisir Sarawak.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MHB berkata kontrak ini melibatkan pembinaan sehingga 11 platform bagi menyokong pembangunan dan pengkomersialan medan minyak dan gas bersaiz kecil serta sederhana di kawasan itu.

 

“Setakat ini, empat platform telah mula menerima perintah kerja dan keseluruhan projek dijangka siap dalam tempoh empat tahun.

 

“Platform yang dibina akan menggunakan reka bentuk standard yang memudahkan proses pembinaan, meningkatkan kecekapan, dan membolehkan projek lain dijalankan dengan lebih mudah dan kos lebih rendah,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Bagaimanapun, nilai kontrak itu tidak didedahkan.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan MHB, Mohd Nazir Mohd Nor berkata projek ini menandakan kerjasama pertama MHB dengan PTTEP dan memperkukuh hubungan antara kedua-dua pihak.

 

"Projek ini memperkukuh perkongsian berasaskan komitmen bersama untuk menyediakan penyelesaian luar pesisir berkualiti tinggi, selaras dengan rancangan pembangunan mereka.

 

“Diperoleh melalui proses bidaan yang kompetitif, kontrak ini mencerminkan lebih daripada lima dekad kepakaran MHB dalam sektor luar pesisir dan rekod prestasi yang terbukti, serta menekankan kecemerlangan teknikal, kos efektif, dan disiplin dalam pelaksanaan projek kami.

 

“Platform kepala telaga (WHP) akan dibina di yard kami di Pasir Gudang, Johor, menggunakan kemudahan canggih dan tenaga kerja berpengalaman untuk memastikan projek dijalankan dengan selamat, mengikut jadual piawaian tertinggi industri," katanya.

 

MHB mempunyai lebih 50 tahun pengalaman dalam bidang tenaga dan maritim, termasuk pembinaan fasiliti luar pesisir, kapal pengangkut gas, serta pengubahsuaian kapal FPSO dan FSO. - DagangNews.com