Malaysia dijangka pelbagaikan pasaran, perjanjian bebas dengan blok bukan AS - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia dijangka pelbagaikan pasaran, perjanjian bebas dengan blok bukan AS - Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mei — Kerajaan Malaysia dijangka menggalakkan pengilang tempatan untuk mempelbagaikan eksport ke pasaran yang lebih luas serta memeterai banyak perjanjian bebas (FTA) dengan blok bukan Amerika Syarikat (AS), kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).


Firma penyelidikan itu berkata, ia antara strategi makro ekonomi yang dapat dirumuskan daripada ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi penerangan mengenai tindak balas kerajaan terhadap pelaksanaan tarif AS, pada sidang khas di Dewan Rakyat semalam.


Ia berkata, Malaysia perlu meneruskan usaha kepelbagaian perdagangan dengan rakan dan blok pasaran bukan AS lain sebagai langkah yang dilihat sebagai tidak terlalu bergantung hanya kepada negara tertentu sekiranya berlaku situasi luar jangka seperti kes tarif AS itu.


"Ini termasuk dengan meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang kini cuma berjumlah sekitar 22 peratus daripada keseluruhan jumlah perdagangan ASEAN sendiri, dan masih adalah rendah berbanding nisbah untuk blok pasaran lain," kata Maybank IB dalam satu nota kajiannya.


Firma tersebut memberi contoh perbezaan ketara dengan jumlah perdagangan besar Malaysia yang melibatkan intra Kesatuan Eropah (EU) apabila mampu merekodkan sebanyak 60 peratus manakala intra AS, Mexico dan Kanada (USMCA) pula juga tinggi iaitu mencecah 49 peratus.


Selain strategi berkenaan katanya, Malaysia didapati sudah mengambil tindakan serius apabila mula membina hubungan perdagangannya dengan pemeteraian banyak perjanjian dan blok perdagangan pelbagai hala sedia ada untuk memperluaskan kemasukan eksport produknya.


Maybank IB merujuk Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP), BRICS+ dan Majlis Kerjasama Teluk (GCC) yang dijangka mampu membantu pasaran perdagangan Malaysia dalam jangka panjang.

 

Artikel berkaitan: 

Kerajaan rangka strategi khusus pastikan kestabilan ekonomi, pertahan kepentingan negara - PM Anwar


Malaysia tidak kenakan tarif 47% ke atas import AS, purata hanya 5.6% - PM Anwar
 

Kerajaan sedia peruntukan tambahan RM50 juta kepada MATRADE, segerakan penerokaan pasaran baharu - PM Anwar


"Selanjutnya, usaha perluasan tersebut diteruskan lagi apabila Malaysia berjaya memeterai FTA dengan Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) yang meliputi pasaran untuk Iceland, Liechtenstein, Norway dan Switzerland pada 11 April 2025," kata firma berkenaan.


Ia kemudian katanya, disusuli dengan Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA) yang akan ditandatangani pada Jun 2025 selain pada masa sama, Malaysia sedang dalam perbincangan FTA membabitkan EU dan Korea Selatan, serta prospek FTA bersama-sama Jepun.


Tumpuan seterusnya kata Maybank IB, ialah Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka pada 7 dan 8 Mei 2025 kerana ia turut menarik perhatian banyak pihak terhadap prospek pertumbuhan negara ini disebabkan kesan pelaksanaan tarif AS. 


Firma berkenaan menjangkakan bank pusat itu akan mengambil kira pelbagai faktor termasuk isu inflasi ketika ini kira-kira dua peratus selain pertukaran kukuh nilai mata wang ringgit kepada dolar AS sebelum memuktamadkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) terbaharu.


"Kami tidak melihat sebarang perubahan dalam OPR pada akhir mesyuarat MPC yang akan datang tetapi menjangkakan terdapat perubahan dalam Penyata Dasar Monetari serta mengunjurkan prospek pengurangan 25 mata asas untuk OPR pada tahun ini," kata Maybank IB.


Firma itu tidak memberikan sebarang ulasan terperinci berhubung pendirian rasmi Malaysia untuk terus berunding dan bukan membalas kepada tarif timbal balik AS yang mencerminkan status negara tersebut sebagai rakan dagangan dan sumber utama pelaburan Malaysia. - DagangNews.com