KUALA LUMPUR 10 Feb - Malaysia berdepan ancaman gangguan rantaian bekalan dan permintaan global yang lebih lemah sekiranya, Amerika Syarikat (AS) mengenakan tarif timbal balik terhadap import dari negara itu pada masa hadapan, kata Kenanga Research.
Katanya, kebanyakan negara ASEAN menyumbang sebahagian kecil daripada defisit perdagangan AS dengan Malaysia hanya 2% manakala Vietnam menyumbang sebanyak 10%.
"AS merupakan antara rakan dagangan utama Malaysia. Import barangan dari AS meningkat dengan ketara selepas COVID-19 yang menurunkan kedudukan lebihan dagangan dengan negara itu.
"Sekiranya, Presiden AS, Donald Trump memperkenalkan tarif timbal balik, Malaysia berdepan peningkatan risiko gangguan rantaian bekalan dan permintaan global yang lebih lemah," katanya dalam satu nota kajian.
Malaysia mempunyai cukai jualan dan perkhidmatan sebanyak 5% hingga 10% ke atas import bercukai, sebagai tambahan kepada duti eksais, dan duti import.
Selain Singapura, negara-negara ASEAN tidak beroperasi di bawah perjanjian perdagangan bebas dua hala dengan AS.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu akan berpihak kepada Malaysia sekiranya tarif timbal balik itu dalah sepadan dengan tahap duti import yang lazim diekanakan oleh setiap negara.
Katanya, di bawah peraturan Pertubuhan Perdagangan Dunia, konsep kadar tarif Negara Paling Digemari (MFN) terpakai kepada ahlinya.
Kadar itu, diukur berdasarkan duti kastam/import, ditetapkan sebaik sahaja tarif import yang menggalakkan dibuat oleh satu negara untuk negara lain, tarif itu juga mesti dikenakan kepada negara anggota yang lain.
MFN, diukur pada asas purata wajaran perdagangan untuk mengambil kira aliran perdagangan sebenar yang lebih baik, ialah 3.3% untuk Malaysia. Ia lebih rendah daripada purata ASEAN sebanyak 5.3%, tidak termasuk Singapura.
"Campuran hasil AS berjulat dari 20% hingga lebih daripada 60%," katanya.
Dengan mengandaikan pengurangan 5% dalam hasil AS, pendapatan akan dipengaruhi oleh hanya 2% hingga 4% dan reaksi negatif harga saham hanya akan terus terkumpul.
“Kami melihat pengurangan hasil sebanyak 5% sebagai andaian sensitiviti yang munasabah untuk digunakan berdasarkan jurang tarif yang berkesan antara MFN wajaran dagangan kami yang kini pada 3.3% dan AS pada 2.2% untuk import.
“Jika kami menggunakan purata tarif mudah, di mana duti import ke atas barangan tertentu boleh berbeza-beza secara meluas, MFN Malaysia berada pada 5.6% berbanding 3.4% di AS,” kata Kenanga Research.
Mengikut sektor, syarikat plastik dan pembungkusan kelihatan paling terlindung.
“Bagi sektor teknologi, kami memantau beberapa syarikat dengan pendedahan langsung AS termasuk D&O Green Technologies Berhad, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Unisem (M) Bhd manakala Karex Bhd juga terdedah secara geografi," katanya.
Secara teorinya, sektor sarung tangan mempunyai kesan paling besar untuk 5% pendapatan AS tetapi Kenanga Research sedar terdapat faktor pengurangan lain seperti pembuat dari China yang terjejas pada masa ini dengan tarif yang lebih tinggi sebanyak 10% tambahan sebagai tambahan kepada 50% yang dikenakan sebelum ini. - DagangNews.com








