Malaysia bakal sedia garis panduan AI ke atas media, PR, penciptaan kandungan digital, kata Fahmi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malaysia bakal sedia garis panduan AI ke atas media, PR, penciptaan kandungan digital, kata Fahmi

FAHMI Fadzil mewakili Malaysia pada persidangan WSIS+20 di Geneva, Switzerland hari ini. - Foto ihsan Kementerian Komunikasi
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Julai — Kerajaan bakal menyediakan rangka kerja bagi Garis Panduan Komunikasi Kecerdasan Buatan (AI) Bertanggungjawab Malaysia, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.


Beliau berkata, ia akan menyokong profesional merentas media, perhubungan awam (PR) dan penciptaan kandungan digital yang bertujuan bagi melengkapkan sendiri Pelan Hala Tuju AI Kebangsaan negara.


Selain itu, ia menegakkan amalan komunikasi beretika, telus dan boleh dipercayai kerana AI semakin mempengaruhi wacana awam dan menegaskan teknologi mesti berkhidmat positif kepada manusia.


"Kita hidup dalam zaman komunikasi tanpa sempadan dan dibentuk AI walaupun mesin berkembang, satu perkara tidak boleh berubah, iaitu etika dan pertimbangan manusia mesti memimpin," kata Fahmi.


Beliau menyatakan demikian dalam ucaptamanya menerusi mesej video secara maya terus dari Geneva, Switzerland pada Persidangan PR Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIP 7), di sini hari ini.


Fahmi mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak Dunia mengenai Masyarakat Bermaklumat+20 (WSIS+20) memuji tema KLIP 7 "AI Berimpak, Komunikasi Media Sosial dan Pendidikan Dalam Talian". 


Malaysia tambah beliau, yang mengisi jawatan Pengerusi ASEAN pada 2025 turut menuntut kepimpinan kerajaan untuk berlabuh bukan sahaja dalam bidang kuasa, tetapi juga dalam visi, empati dan etika.

 

fahmi
FAHMI Fadzil (tengah) bergambar dengan komuniti Malaysia ketika hadir di Rumah Malaysia, Geneva, Switzerland. - Foto ihsan Facebook Fahmi Fadzil


Justeru katanya, tema KLIP 7 itu disifatkannya sebagai sangat relevan, dengan menyatakan peranan teknologi transformatif yang dimainkan dalam cara maklumat digunakan dan disampaikan.


Menteri itu juga menekankan Ikrar Venice, yang disahkan oleh Global Alliance untuk PR, sebagai penanda aras antarabangsa yang muncul untuk komunikasi AI lebih beretika dan diterajui manusia.


"Saya berbangga menyatakan bahawa Presiden Institut Perhubungan Awam Malaysia (IPRM), Jaffri Amin Osman, dan, sudah tentu, rakyat Malaysia, adalah sebahagian daripada lembaga Global Alliance.


"Beliau sendiri aktif telah memainkan banyak peranan penting dalam membentuk Ikrar Venice," katanya yang turut mengucapkan tahniah kepada para penerima Anugerah Kecemerlangan PR ASEAN.


Sejak penubuhannya pada 2019, KLIP menjadi persidangan global penting bagi PR, pemimpin komunikasi, profesional, serta akademik dari ASEAN serta memupuk perkongsian pandangan industri terkini.


Tahun ini, KLIP akan menampilkan penceramah antarabangsa, perbincangan panel dan sesi interaktif, memberikan pandangan berharga serta peluang rangkaian untuk peserta. - DagangNews.com