KUALA LUMPUR 9 Okt – Malayan United Industries Berhad (MUIB) menerusi anak syarikat milik penuhnya, MUI Media Ltd (MML), telah menerima satu kemudahan pinjaman berjangka bernilai AS$20 juta (RM84.3 juta) daripada Indies Special Opportunities IV Ltd, bagi membiayai kerja-kerja perbelanjaan modal dan keperluan modal kerja kumpulan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, MUIB berkata, dana itu akan digunakan sebahagian besarnya untuk menyokong projek naik taraf dan pengubahsuaian hotel Corus Hyde Park di London, melalui syarikat subsidiari Plaza On Hyde Park Limited (POHPL), serta menstruktur semula beberapa kemudahan pinjaman sedia ada di Malaysia.
Katanya, kemudahan pinjaman berjangka itu dibahagikan kepada tiga komponen membabitkan AS$5 juta bagi Tranche A1, AS$5 juta Tranche A2 dan AS$15 juta untuk Tranche B.
"Sebagai sebahagian daripada syarat pembiayaan, MUIB akan menyediakan Jaminan Korporat bagi bayaran balik prinsipal dan faedah sepanjang tempoh pinjaman," katanya.
MUIB berkata kemudahan pinjaman ini akan membolehkan kumpulan terus melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian hotel di bawah kumpulan Corus, memenuhi keperluan modal kerja am, dan mempertingkatkan fleksibiliti kewangan serta kecekapan operasi.
“Pembiayaan ini akan mengoptimumkan peruntukan modal kumpulan dan menyokong agenda pertumbuhan jangka panjang kumpulan di pasaran antarabangsa,” kata syarikat itu.
Berdasarkan penyata kewangan teraudit setakat 30 Jun 2024, pinjaman ini akan memberi kesan seperti berikut:
- Tiada kesan ke atas modal saham atau pegangan pemegang saham utama.
- Pendapatan dan EPS (kerugian sesaham): Kumpulan dijangka menanggung tambahan kos faedah sebanyak AS$2.6 juta (RM11.1 juta) bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026, dengan kerugian sesaham meningkat sebanyak 0.34 sen.
- Aset bersih per saham (NA) kekal pada RM0.25, manakala nisbah keberhutangan (gearing) meningkat daripada 0.87 kali kepada 0.97 kali. - DagangNews.com








