Malacca Securities perkenal rumusan pembiayaan IPO untuk pelabur runcit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Malacca Securities perkenal rumusan pembiayaan IPO untuk pelabur runcit

Gambar/FB M+ Online - Malacca - HQ
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 25 Feb - Malacca Securities Sdn Bhd melancarkan platform Pembiayaan Tawaran Awam Permulaan (IPO) pertama di Malaysia melalui perkhidmatan dagangan M+ Global, menetapkan satu piawaian baharu untuk pelabur runcit yang ingin melanggan senarai IPO yang mendapat permintaan tinggi.

 

Pengarah Urusan Malacca Securities, Lim Chia Wei berkata, inisiatif tersebut meningkatkan akses kepada pelaburan IPO dengan membolehkan pelabur menggunakan dana dan meningkatkan kuasa langganan mereka tanpa perlu mengikat keseluruhan modal.

 

"Pada tahun 2024, Bursa Malaysia menyaksikan lonjakan IPO, dengan sejumlah 55 senarai dan permodalan pasaran gabungan sebanyak RM31.37 bilion," katanya dalam satu kenyataan.

 

Jelas beliau, secara khusus, sebanyak 87% daripada IPO itu ditutup dengan harga lebih tinggi daripada harga penyenaraian pada hari pertama, memberikan purata keuntungan lebih 77% kepada pelabur yang berjaya.

 

"Dengan perkhidmatan perintis ini, kami dapat memberi pelabur peluang yang lebih baik untuk mendapatkan saham IPO.

 

"Rumusan pembiayaan kami membuka akses, memberi semua pelabur keupayaan untuk memaksimumkan penyertaan mereka dalam IPO," ujarnya.

 

Mengambil contoh IPO Oriental Kopi Holdings Bhd (KL:KOPI) baru-baru, Chia Wei menjelaskan bagaimana pelabur yang melabur RM10,000, pada mulanya hanya mempunyai peluang sebanyak 5.04% untuk mendapatkan saham dalam IPO tersebut. 

 

"Jika berjaya, mereka boleh memperoleh keuntungan sebanyak RM3,480 pada hari pertama perdagangan saham.

 

"Namun, jika pelabur menggunakan leverage (pinjaman) sebanyak lima kali ganda, mereka dapat meningkatkan kuasa beli mereka kepada RM50,000. Dengan kuasa beli yang lebih besar ini, potensi keuntungan mereka boleh meningkat kepada RM5,220, berbanding RM3,480 jika melabur hanya RM10,000," jelasnya.

 

Beliau berkata, Pembiayaan IPO M+ Global menawarkan rumusan bagi membantu pelabur meningkatkan peluang mereka untuk mendapat lebih banyak saham dalam IPO. 

 

"Proses pembiayaan ini direka untuk menjadi mudah, segera dan telus, di mana pelabur tidak akan dikenakan sebarang caj jika mereka tidak berjaya mendapat bahagian saham dalam IPO tersebut," katanya. - DagangNews.com