Majlis Kewangan Negara lulus kenaikan 25% pemberian geran perkapita bermula 2026 - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Majlis Kewangan Negara lulus kenaikan 25% pemberian geran perkapita bermula 2026 - PM Anwar

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Mac - Mesyuarat Majlis Kewangan Negara Tahun 2025 yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meluluskan kenaikan 25% kepada RM548 juta bagi Pemberian Mengikut Bilangan Orang (geran perkapita) bermula 2026. 

 

Ini merupakan julung kalinya kadar geran perkapita dikaji semula sejak 2002 dan semakan kadar tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan Madani membantu kerajaan negeri menyempurnakan perkhidmatan kepada rakyat.

 

Majlis Kewangan Negara tahun ini yang turut dihadiri oleh Premier Sarawak, Menteri-Menteri Besar serta Ketua-ketua Menteri juga telah meluluskan penambahbaikan garis panduan pelaksanaan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation(EFT).

 

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, tumpuan Kerajaan Madani untuk memelihara dan memulihara alam sekitar terbukti dengan peningkatan peruntukan EFT daripada RM150 juta pada 2023 kepada RM200 juta pada 2024, dan seterusnya RM250 juta untuk 2025. 

 

“Melalui Majlis Kewangan Negara, Kerajaan Madani menunjukkan komitmennya untuk bekerjasama dan memberikan sokongan berterusan kepada semua kerajaan negeri ke arah pembangunan Malaysia Madani.

 

“Pemberian Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri mencecah RM9.3 bilion pada tahun 2024 dan ditingkatkan lagi dengan peruntukan RM9.8 bilion untuk tahun 2025 demi manfaat semua rakyat Malaysia," katanya dalam satu kenyataan.

 

Pada 2025, Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan pembangunan terangkum, di mana projek pembangunan baharu yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2025 diselaraskan dengan mengambil kira keutamaan setiap kerajaan negeri.

 

Peruntukan bagi program pertanian secara kerjasama dengan kerajaan negeri telah dilonjakkan kepada RM300 juta bagi tahun 2025 daripada RM150 juta pada 2024.

 

Kerajaan Persekutuan terus bertekad untuk memastikan hubungan dengan semua kerajaan negeri kekal utuh demi kebaikan dan kesejahteraan rakyat Malaysia keseluruhannya.  - DagangNews.com