KUALA LUMPUR 4 Feb - Mahkamah Rayuan menolak tuntutan kehilangan keuntungan dan gangguan perniagaan yang dikemukakan See Hee Yang Property Management Sdn Bhd susulan pengambilan hampir dua ekar daripada 4.53 ekar tanah miliknya di Klang bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Barat (WCE).
Panel hakim yang diketuai Datuk Wong Kian Kheong memutuskan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam adalah tepat dan tidak wujud sebarang kesilapan undang-undang yang mewajarkan campur tangan mahkamah rayuan.
Dalam penghakiman setebal 70 muka surat, Wong yang bersidang bersama Datuk Azimah Omar (kini hakim Mahkamah Persekutuan) dan Datuk Ismail Brahim, berkata tuntutan pemaju berhubung kehilangan keuntungan tidak memenuhi kriteria injurious affection kerana ia tidak melibatkan kerosakan serius terhadap baki tanah yang tidak diambil.
“Pada masa pengambilan tanah, pemaju belum memulakan sebarang kerja pembinaan. Oleh itu, sebarang kehilangan keuntungan atau perniagaan tidak boleh dimasukkan ke dalam nilai pasaran tanah yang diambil,” katanya.
Sebelum pengambilan tanah dibuat, See Hee Yang telah memperoleh kelulusan perancangan daripada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk membangunkan 74 unit rumah teres dua tingkat bernilai antara RM500,000 hingga RM630,000 seunit, serta mendapatkan pembiayaan bank sebanyak RM3.25 juta.
Bagaimanapun, susulan pengambilan enam lot di bawah Akta Pengambilan Tanah bagi projek WCE, pemaju terpaksa membatalkan pelan asal dan mengemukakan pelan baharu bagi membangunkan baki tanah dengan 55 unit rumah yang lebih kecil dan berharga lebih rendah.
Pejabat Tanah Daerah Klang sebelum ini telah menganugerahkan pampasan berjumlah RM6.129 juta, termasuk RM4.987 juta yang diklasifikasikan sebagai kehilangan keuntungan. Namun, tuntutan tersebut dirujuk ke Mahkamah Tinggi melalui dua rujukan sebelum ditolak.
Mahkamah Rayuan turut mengesahkan bahawa pampasan berdasarkan nilai pasaran yang ditentukan oleh Pejabat Tanah Daerah Klang adalah munasabah, dengan nilai RM1,520.15 bagi setiap meter persegi, selaras dengan lima rujukan kes terdahulu yang menetapkan nilai RM1,500 setiap meter persegi.
Berikutan keputusan itu, mahkamah memerintahkan See Hee Yang membayar kos sebanyak RM30,000 masing-masing kepada Lembaga Lebuhraya Malaysia dan Pejabat Tanah Daerah Klang sebagai responden.
Cheah Sin Chin dan Gan Yu Lin daripada Tetuan Azwar & Associates hadir mewakili syarikat pemaju, manakala Koh Yew Chong dan Justin Leong Chee C'Jun daripada Tetuan Lee & Koh hadir bagi pihak Lembaga Lebuhraya Malaysia. Peguam Etty Eliany Tesno dan Norfariza Ridzuan hadir mewakili Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor. - DagangNews.com








