Mahkamah Rayuan tolak rayuan Kedah berhubung larangan operasi premis loteri dengan keputusan majoriti 2-1 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mahkamah Rayuan tolak rayuan Kedah berhubung larangan operasi premis loteri dengan keputusan majoriti 2-1

KUALA LUMPUR 12 Dis - Mahkamah Rayuan di Putrajaya hari ini dengan keputusan 2-1 telah mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kedah yang membatalkan tindakan kerajaan negeri Kedah untuk melarang premis loteri di seluruh negeri.

 

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Azizah Nawawi menyampaikan penghakiman tersebut, dengan Azizah membuat pendirian berbeza. 

 

Hakim Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Dr Lim Hock Leng bersetuju mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi, manakala Azizah, yang juga Ketua Hakim Sabah dan Sarawak, berpandangan bahawa Mahkamah Tinggi telah tersilap dan keputusan kerajaan negeri Kedah sepatutnya dikekalkan.

 

Dalam penghakimannya, Hakim Azizah merujuk kepada Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, khususnya Butiran 4 dalam Senarai Negeri dibaca bersama Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976. 

 

Beliau berhujah bahawa peruntukan tersebut memberikan kuasa kepada negeri untuk mengawal selia dan melesenkan premis perniagaan.

 

Menurutnya, tindakan kerajaan Kedah hanya melibatkan pengawalseliaan lesen premis termasuk yang digunakan bagi aktiviti perjudian, dan tidak mencampuri pengeluaran lesen pertaruhan kumpulan di bawah Akta Pertaruhan Kumpulan 1967 yang merupakan bidang kuasa Persekutuan.

 

“Akta Pertaruhan Kumpulan mengawal lesen untuk menjalankan atau menganjurkan pertaruhan kumpulan, tetapi ia tidak meliputi premis. Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan mengawal lesen premis yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan,” katanya.

 

Hakim Azizah menyifatkan keputusan Exco Negeri Kedah sebagai tindakan pentadbiran yang sah dalam lingkungan kuasa negeri, lapor The EDGE.

 

“Dalam membuat keputusan tersebut, perayu mengambil kira kebajikan rakyat Kedah, khususnya mereka yang beragama Islam, dengan mengiktiraf bahawa kesan buruk perjudian melebihi manfaatnya. 

 

"Kesan tersebut termasuk keruntuhan institusi keluarga, hutang serius, dan kemudaratan lebih luas terhadap nilai masyarakat,” katanya sambil menambah bahawa mahkamah tidak sepatutnya mencampuri dasar sedemikian dan bahawa keputusan Mahkamah Tinggi “perlu diketepikan”.

 

“Atas semua alasan yang dinyatakan, saya berpendapat bahawa keputusan hakim Mahkamah Tinggi adalah tersilap dan mesti diketepikan,” tambah Hakim Azizah.

 

Namun Hakim Faizah, yang menulis penghakiman majoriti, mendapati bahawa tindakan kerajaan negeri Kedah sebenarnya telah mencampuri bidang kuasa Persekutuan.

 

Beliau berpendapat bahawa dengan menghentikan pembaharuan atau pengeluaran lesen premis perniagaan bagi aktiviti pertaruhan kumpulan, negeri telah menjejaskan kuasa statutori Menteri Kewangan, yang mengawal industri itu di bawah Akta Pertaruhan Kumpulan.

 

“Tindakan ini menjejaskan kuasa statutori Menteri Kewangan, yang diberi kuasa mengeluarkan lesen pertaruhan kumpulan dan mengawal industri di seluruh negara, sekali gus menafikan kuasa Persekutuan,” kata Hakim Faizah.

 

Hakim Faizah menambah, menurut Perkara 8.1(b) Perlembagaan Persekutuan, “setiap negeri wajib melaksanakan kuasa eksekutifnya tanpa menjejaskan atau memudaratkan kuasa eksekutif Persekutuan”.

 

Hakim Lim bersetuju dan berpendapat tindakan kerajaan Kedah adalah tidak selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

 

Latar Belakang Kes

Keputusan Mahkamah Tinggi yang dibuat pada 2024 oleh Hakim Mahazan Mat Taib timbul daripada enam permohonan semakan kehakiman difailkan oleh ejen pertaruhan kumpulan, syarikat pertaruhan dan pegawai utama mereka.

 

Pemohon mencabar tindakan negeri menghentikan pembaharuan lesen perniagaan untuk premis loteri.

 

Hakim Mahazan memutuskan bahawa kerajaan Kedah telah bertindak melampaui kuasanya dengan melaksanakan larangan yang bercanggah dengan undang-undang Persekutuan.

 

Pertikaian ini bermula pada November 2021 apabila Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Nor, mengumumkan bahawa negeri itu akan menghentikan pembaharuan lesen majlis tempatan untuk premis loteri mulai 1 Jan 2023 sebagai sebahagian usaha membendung masalah sosial.

 

Sementara itu Hakim Azizah memerintahkan tiada perintah mengenai kos untuk rayuan tersebut.

 

Kedah diwakili oleh penasihat undang-undang negeri Saifulrijal Azhari, manakala syarikat pertaruhan kumpulan diwakili oleh Bryan ML Foong dan Hiqmar Danial daripada Tetuan Cheang & Arif. - DagangNews.com