PUTRAJAYA 10 Okt – Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan pendapatan yang diterima oleh seorang pengarah bukan eksekutif bebas syarikat hendaklah dikenakan cukai sebagai pendapatan perniagaan, dan bukannya pendapatan penggajian.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah secara sebulat suara menolak rayuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap tokoh korporat veteran Datuk Oh Chong Peng.
Dua lagi hakim dalam panel tersebut ialah Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.
Mahkamah memutuskan berdasarkan undang-undang semasa, terdapat garis pemisah yang jelas antara pengarah eksekutif dan pengarah bukan eksekutif bebas, dan oleh itu, bayaran kepada pengarah bebas perlu dianggap sebagai pendapatan perniagaan.
LHDN sebelum itu memfailkan rayuan LHDN berkait dengan tuntutan cukai tambahan berjumlah RM398,374 bagi tahun taksiran 2002 hingga 2012.
Dalam tempoh tersebut, Chong Peng, seorang akauntan bertauliah berkhidmat sebagai pengarah bebas di 17 syarikat tersenarai, termasuk Alliance Financial Group Berhad, AmBank Berhad, British American Tobacco (Malaysia) Berhad, IJM Corporation Berhad, Malayan Flour Mills Berhad dan UEM Land Berhad.
Chong Peng telah melaporkan pendapatan tersebut sebagai pendapatan perniagaan, setelah memindahkan bayaran pengarah kepada dua syarikat pengurusan miliknya, iaitu OCP Holding Sdn Bhd dan Garzania Sdn Bhd.
LHDN berpendapat bahawa pendapatan tersebut adalah pendapatan penggajian, justeru dikenakan kadar cukai yang lebih tinggi berbanding pendapatan perniagaan.
Rayuan ini dikemukakan LHDN selepas Mahkamah Tinggi pada Februari 2024 memutuskan untuk membatalkan keputusan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) yang sebelum ini menyebelahi LHDN.
Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Kamal Shahid ketika itu menyatakan SCIT telah tersilap apabila beranggapan bahawa definisi “pengarah bebas” oleh Bursa Malaysia hanyalah satu garis panduan, dan Chong Peng tergolong dalam kategori “pekerja” di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
Mahkamah turut menyatakan perbezaan pandangan tentang kategori cukai tidak boleh dijadikan asas untuk mengenakan penalti, dan LHDN gagal membuktikan terdapat unsur kecuaian atau niat tidak jujur di pihak Chong Peng.
Dalam prosiding Khamis, wakil LHDN, Peguam Kanan Hasil Ahmad Isyak Mohd Hassan, berhujah, meskipun seorang pengarah bebas bukan pekerja syarikat secara teknikal, pendapatan mereka tetap tertakluk di bawah kategori “pendapatan penggajian” mengikut tafsiran ACP.
Beliau mempersoalkan bagaimana peranan sebagai pengarah boleh dianggap sebagai satu perniagaan.
"Pendapatan itu dibayar atas perkhidmatan peribadinya. Ia kemudian dipindahkan ke dua syarikat miliknya dan diisytiharkan sebagai pendapatan perniagaan — yang dikenakan cukai lebih rendah. Tapi bolehkah sebuah syarikat mempunyai perniagaan menyediakan khidmat pengarah? Itu pelik. Seorang pengarah dilantik secara peribadi oleh syarikat. Syarikat boleh pegang saham, tapi tidak boleh jadi pengarah,” katanya.
Peguam utama Chong Peng, S Saravana Kumar, membalas hujah dengan menyatakan pendapatan tersebut telah diisytiharkan secara konsisten sebagai pendapatan perniagaan dan diterima oleh LHDN sebelum ini tanpa sebarang isu.
Beliau turut menjelaskan bahawa anak guamnya pernah menjadi pengarah kepada beberapa syarikat di bawah kelulusan Kementerian Kewangan, yang pastinya melalui proses saringan ketat.
Saravana juga menambah ada kes di mana pengarah bukan eksekutif tidak menerima sebarang imbuhan, kerana ianya tertakluk kepada kelulusan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) syarikat.
Katanya, imbuhan yang diterima adalah bersifat “keuntungan” dan sewajarnya dikenakan cukai sebagai pendapatan perniagaan dan keuntungan, bukan penggajian.
Susulan keputusan Mahkamah Rayuan, LHDN turut diarahkan untuk memulangkan semula cukai tambahan yang telah dibayar oleh Chong Peng dalam tempoh tiga bulan dari tarikh keputusan ini.
Peguam LHDN turut dibantu oleh SRC Marina Ibrahim, manakala Saravana dibantu oleh Felicia Wong, lapor The Edge








