KUALA LUMPUR 18 Julai — Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yakin Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) mencapai sasaran 62 juta penumpang setahun menjelang akhir 2025.
Pengarah Urusannya, Datuk Mohd Izani Ghani berkata, perkara tersebut tidak mustahil kerana tempoh separuh pertama tahun ini sahaja jumlah yang direkodkan sudah pun kira-kira 30.1 juta orang.
Perkembangan positif tersebut tambah beliau, menyaksikan pergerakan penumpang yang keluar masuk di kedua-dua Terminal 1 dan 2 KLIA meningkat sebanyak 9.9 peratus untuk data tahun ke tahun (YoY).
"Jika berjaya, KLIA dianggap sudah pun kembali pulih seperti situasi normal sebelum wabak Covid-19 melanda dunia pada 2020," katanya pada sesi taklimat khas media di Hotel Sama Sama KLIA hari ini.

Berdasarkan rekod pada 2019, trafik penumpang di lapangan terbang utama yang berusia 27 tahun itu pernah mencatatkan seramai 60 juta orang dengan hampir 32 juta daripadanya menggunakan Terminal 2.
Mengulas lanjut, Mohd Izani berkata, MAHB merekodkan 50 juta penumpang pada separuh pertama 2025, iaitu pertambahan 11.3 peratus YoY melibatkan kesemua 39 lapangan terbang diuruskannya di Malaysia.
Pada tempoh berkenaan juga katanya, sejumlah 65 syarikat penerbangan menggunakan semua lapangan terbang yang dikendalikan MAHB termasuk lapan operator baharu dengan lima yang melibatkan KLIA.
"Antaranya British Airways yang menyambung semula perkhidmatannya mulai 2 April 2025 selepas lima tahun operasinya digantung berikutan isu Covid-19," katanya yang optimis angka itu boleh bertambah.

Selain itu, beliau gembira apabila MAHB mencatatkan 18 laluan baharu sepanjang enam bulan pertama tahun ini termasuk melibatkan lapangan terbang antarabangsa di Pulau Pinang dan Kota Kinabalu.
Untuk penerbangan jarak jauh pula kata Mohd Izani, ia merekodkan pertambahan 12 peratus melibatkan Turkish Airlines dari Türkiye, Qatar Airways dari Qatar dan Emirates dari Emiriah Arab Bersatu.
Berdasarkan perkembangan positif itu, beliau yakin KLIA terutamanya mampu menjadi antara hab udara pilihan serantau kepada penumpang antarabangsa dan seterusnya menjana pertumbuhan ekonomi negara.
"Saya berpandangan faktor tersebut disebabkan tahun ini Malaysia kebetulan merupakan Pengerusi ASEAN namun situasi serupa dijangka bertambah lagi pada tahun depan dan yang berikutnya," kata beliau.

Mohd Izani merujuk kepada persediaan negara apabila Tahun Melawat Malaysia 2026 yang disasarkan mampu menarik 35.6 juta pelancong dengan unjuran pendapatan diperoleh sebanyak RM147.1 bilion.
Sementara pada 2027 pula tambahnya, Malaysia sekali lagi menjadi tumpuan serantau menerusi Sukan SEA XXXIV yang menyaksikan acara dwitahunan itu berlangsung di Kuala Lumpur, Sarawak dan Pulau Pinang.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan MAHB akan memastikan semua lapangan terbang di negara ini khususnya KLIA bersedia menerima lonjakan penumpang menerusi pelbagai penambahbaikan berterusan.
"Kami juga bekerjasama dengan Jabatan Landskap Negara, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi memastikan KLIA menampilkan imej hebat warisan Malaysia," katanya. - DagangNews.com








