KUALA LUMPUR 7 Feb - Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) akan kekal beroperasi sebagai aset strategik negara walaupun selepas syarikat itu diswastakan nanti.
Kementerian Kewangan (MOF) menjelaskan, peranan MAHB kekal terhad kepada pengoperasian lapangan terbang di bawah seliaannya, dengan kesemua 39 lapangan terbang di Malaysia kekal berada di bawah pemilikan kerajaan, seperti termaktub dalam perjanjian pengoperasian.
Katanya, kerajaan juga tidak akan berkompromi dalam isu keselamatan negara meskipun selepas pengambilalihan ini dimuktamadkan kelak.
"Sebagai sebuah negara berdaulat, urusan keluar masuk dalam negara akan dikendalikan oleh pelbagai agensi dan jabatan termasuk Jabatan Kastam Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
"Soal keselamatan di darat dan kawasan awam di sekitar lapangan terbang pula adalah di bawah bidang kuasa Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Sementara, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) pula bertanggungjawab dari segi keselamatan di udara serta kawasan pengendalian bagasi.
"MAHB akan kekal dikawal selia oleh agensi seperti Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM)," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Ia bagi menjawab soalan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang mahu tahu status terkini berkenaan penjualan saham MAHB dan langkah kerajaan memastikan kepentingan strategik negara terus terpelihara.
Kementerian Kewangan berkata, kerajaan tidak menjual saham dalam MAHB, sebaliknya Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan UEM Group Berhad akan meningkatkan pegangan saham terkumpul di dalam MAHB daripada 41% kepada 70%.
"Kedaulatan dan kepentingan negara akan terus terjamin memandangkan konsortium ini diterajui syarikat-syarikat GLIC menerusi pemilikan majoriti saham 70%.
"Kerajaan juga melalui Kementerian Kewangan (Diperbadankan) (MOF Inc) akan mengekalkan pegangan Saham Khas atau Golden Share dalam MAHB.
"MOF Inc selaku pemegang saham khas MAHB, berhak melantik pengarah MAHB, termasuk seorang pengerusi dan seorang Pengarah Urusan MAHB. Ini akan memastikan segala keputusan strategik yang diambil konsortium ini selari dengan kepentingan negara," katanya.
Dalam pada itu katanya, Konsortium Gateway Development Alliance Sdn Bhd (GDA) yang diterajui UEM Group Berhad dan KWSP pada 4 Februari 2025, mengumumkan berjaya mencatatkan kadar penerimaan yang sah sebanyak 96.74% daripada pemegang saham MAHB.
Katanya, ia sekali gus memenuhi syarat penerimaan tawaran dan menjadikan tawaran tersebut tidak lagi bersyarat.
"Oleh kerana GDA sudah memiliki lebih daripada 90% saham MAHB dan tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraian MAHB di Pasaran Utama Bursa Malaysia, urus niaga dagangan saham MAHB akan dihentikan pada 20 Februari 2025, iaitu lima hari dagangan setelah tarikh akhir penerimaan tawaran yang dijadualkan pada 12 Februari ini.
"Selepas itu, MAHB akan memulakan langkah dan prosedur yang diperlukan untuk dinyahsenarai daripada Pasaran Utama," katanya.- DagangNews.com








