Mah Sing bangunkan enjin pertumbuhan kedua menerusi strategi infrastruktur pusat data - Rakuten | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing bangunkan enjin pertumbuhan kedua menerusi strategi infrastruktur pusat data - Rakuten

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 19 Jun – Mah Sing Group Bhd menerima saranan "beli" daripada Rakuten Trade Sdn Bhd dengan harga sasaran (TP) 52 minggu sebanyak RM2.18, disokong prestasi kukuh dan prospek pertumbuhan positif.

 

Rakuten Trade berkata, Mah Sing mencatat jualan hartanah RM1.01 bilion dalam lima bulan pertama tahun kewangan 2025 (FY25),  hampir 40% daripada sasaran tahunan RM2.65 bilion.

 

"Selain hartanah, Mah Sing turut membangunkan enjin pertumbuhan kedua menerusi strategi infrastruktur pusat data (DC)," katanya dalam satu nota kajian.

 

Saham itu diniagakan antara paras tertinggi RM1.97 dan terendah RM1.01 dalam tempoh 12 bulan lalu.

 

Bagi suku pertama FY25, Mah Sing mencatatkan keuntungan bersih RM66 juta, meningkat 10% tahun ke tahun, disokong oleh pengebilan progresif daripada projek kediaman yang sedang berjalan.

 

Dengan jualan baharu yang kukuh dan jualan belum dibil sebanyak RM2.7 bilion, Rakuten Trade menjangkakan keuntungan bersih Mah Sing mencecah RM271 juta bagi FY25 dan RM283 juta untuk FY26.

 

Mah Sing turut meneruskan strategi peluasan bank tanah dengan pembelian baharu di Kuala Lumpur dan Johor Bahru, termasuk 1.12 hektar di Sentul bagi pembangunan M Aria dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM283 juta dan 2.42 hektar di Taman Pelangi, Johor Bahru untuk M Grand Minori GDV sebanyak RM1.5 bilion.

 

Enam projek baharu yang dirancang mempunyai GDV gabungan RM5.8 bilion.

 

Bagi 2025, Mah Sing merancang pelancaran projek baharu bernilai lebih RM3.3 bilion di beberapa lokasi utama.

 

Syarikat telah menandatangani dua perjanjian kerjasama dengan Bridge Data Centres (BDC) bagi membangunkan infrastruktur pusat data di Southville  City, Bangi, termasuk projek Mah Sing DC Hub @ Southville City. 

 

Mah Sing turut meneroka pembangunan pusat data di atas tanah seluas 17 hektar di Meridin East, Johor Bahru yang berpotensi menyokong kapasiti tenaga sehingga 300 megawatt (MW).

 

Firma penyelidikan itu berkata, langkah itu sejajar dengan strategi Mah Sing untuk mempelbagaikan portfolio ke sektor berimpak tinggi dan menyokong kedudukan Malaysia sebagai hab infrastruktur digital serantau," menurut laporan itu.

 

Mah Sing juga mengekalkan dasar pembayaran dividen minimum 40% sejak 19 tahun lalu. 

 

Setakat ini, semua 13 penganalisis yang dipantau Bloomberg mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran RM1.86 sesaham.- DagangNews.com