Mah Sing ambil alih pembangunan dua projek Rumah Mutiaraku, Balik Pulau yang terbengkalai sejak 2017 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing ambil alih pembangunan dua projek Rumah Mutiaraku, Balik Pulau yang terbengkalai sejak 2017

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 FebMah Sing Group Berhad dilantik sebagai pembiaya bagi menyokong pemulihan dan penyiapan dua projek perumahan mampu milik Rumah Mutiaraku (RMKU) di Balik Pulau, Pulau Pinang, sekali gus mengukuhkan komitmen jangka panjang kumpulan itu terhadap pembangunan negeri berkenaan.

 

Pelantikan Mah Sing bagi projek Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton, yang melibatkan keseluruhan 625 unit kediaman, diumumkan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.

 

Kedua-dua projek tersebut sebelum ini dilancarkan pada 2017 namun tidak disiapkan. Baker Tilly Insolvency PLT turut dilantik sebagai pelikuidasi untuk menguruskan proses pemulihan projek.

 

 

 

 

 

 

"Pelantikan ini melambangkan keyakinan kerajaan negeri terhadap Mah Sing berdasarkan rekod prestasi kukuh, keupayaan kewangan serta hubungan lama kumpulan itu dengan Pulau Pinang.

 

"Langkah ini bertujuan melindungi kepentingan pembeli rumah yang terjejas serta memastikan projek dapat disiapkan mengikut perancangan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mah Sing mempunyai hampir dua dekad pengalaman pembangunan di Pulau Pinang, bermula dengan projek Southbay di Batu Maung pada 2007.

 

Sejak itu, kumpulan tersebut telah berjaya menyiapkan beberapa pembangunan utama termasuk Residence@Southbay, Legenda@Southbay, Southbay Plaza, The Loft dan M Vista, yang kesemuanya telah siap dan habis dijual.

 

Jejak Mah Sing di Pulau Pinang turut diperluaskan menerusi pembangunan Ferringhi Residence dan Ferringhi Residence 2, serta projek terkini M Zenni di Batu Maung dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM528 juta.

 

Pada Disember 2025, Mah Sing turut memeterai perjanjian dengan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bagi pemerolehan tanah projek M Cora di Sungai Pinang.

 

Dengan rekod prestasi lebih 30 tahun, Mah Sing mempunyai hampir 70 pembangunan di seluruh negara merangkumi segmen kediaman, komersial, perindustrian dan guna campuran.

 

"Yang penting, Mah Sing tidak pernah meninggalkan mana-mana projek sepanjang sejarahnya dan kekal komited untuk menegakkan piawaian tinggi dari segi kualiti, tadbir urus dan pembangunan bertanggungjawab.

 

"Prinsip-prinsip ini menjadi panduan penglibatan Kumpulan dalam pemulihan projek RMKU, dengan penekanan kepada sokongan berhemah dan penyiapan jangka panjang yang berjaya," kata kenyataan itu..

 

Pemulihan Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton merupakan sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan perumahan mampu milik kepada komuniti B40 dan M40, selaras dengan Visi Pulau Pinang 2030.

 

Melalui Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP), kerajaan negeri menetapkan sasaran untuk menyediakan 220,000 unit perumahan mampu milik menjelang 2030 di bawah Inisiatif Strategik A1.

 

Kerajaan Negeri Pulau Pinang memandang serius isu projek perumahan yang terbengkalai dan telah bekerjasama rapat dengan agensi berkaitan bagi melaksanakan langkah pembetulan.

 

 

 

 

 

 

Antaranya termasuk pengenalan pakej pembiayaan khas dan pelantikan syarikat korporat yang berwibawa serta kukuh dari segi kewangan bagi memastikan projek terbengkalai dapat diteruskan semula.

 

Kemajuan projek Pangsapuri Sri Bayu dan Pangsapuri Quinton akan dipantau rapi bagi memastikan hak pembeli terpelihara dan kediaman dapat disiapkan demi manfaat komuniti setempat. - DagangNews.com