Mah Sing akan bangunkan semula Hotel Corus KLCC menjadi pangsapuri servis mewah dengan GDV dianggarkan RM1.28 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mah Sing akan bangunkan semula Hotel Corus KLCC menjadi pangsapuri servis mewah dengan GDV dianggarkan RM1.28 bilion

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 8 Ogos – Mah Sing Group Bhd akan membangunkan semula Hotel Corus KLCC menjadi pangsapuri servis mewah dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.28 bilion.

 

Syarikat pemaju ini telah memperoleh tanah pegangan bebas seluas 1.485 ekar di tengah-tengah kawasan KLCC daripada Kumpulan MUI pada harga RM260 juta.

 

Menurut kenyataan Mah Sing, tanah strategik itu menempatkan Hotel Corus KLCC dan terletak hanya lima minit berjalan kaki dari Menara Berkembar PETRONAS dan Suria KLCC.

 

 

 

 

 

 

"Tanah berkenaan akan dibangunkan semula sebagai projek pangsapuri servis mewah pegangan bebas dengan nilai pembangunan kasar (GDV) dianggarkan RM1.28 bilion. Unit-unit kediaman berkenaan dianggarkan berharga bermula daripada RM898,000," kata Mah Sing.

 

Pengasas merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing, Tan Sri Leong Hoy Kum berkata, pengambilalihan tersebut sejajar dengan strategi kumpulan untuk membuka nilai di lokasi bandar utama yang mempunyai asas permintaan kukuh.

 

“Lebih daripada sekadar pembangunan semula, ia adalah peluang untuk mewujudkan sebuah alamat berprestij di tengah-tengah Kuala Lumpur.

 

 

Tan Sri Leong Hoy Kum
                       Tan Sri Leong Hoy Kum

 

 

“Kami teruja untuk membayangkan semula tapak utama ini menjadi sebuah pembangunan mercu tanda yang melengkapi latar langit KLCC.

 

“Dengan status pegangan bebas yang jarang ditemui, sambungan pengangkutan yang tiada tandingan dan lokasi strategik di pusat bandar, kami yakin projek ini akan menarik minat antarabangsa serta memberikan nilai jangka panjang kepada pembeli rumah dan pihak berkepentingan,” katanya.

 

Sementara itu, Pengerusi merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MUI, Andrew Khoo berkata, sudah tiba masanya untuk kumpulan tersebut melupuskan aset hotel itu sebagai sebahagian daripada strategi penstrukturan semula.

 

“Kami percaya Mah Sing adalah organisasi yang tepat untuk memimpin pembangunan semula projek ini dan mencipta projek mercu tanda ikonik yang memaksimumkan potensi penuh tanah tersebut.

 

 

Ming Court
Hotel Corus KLCC asalnya dikenali sebagai Ming Court Hotel di Jalan Ampang.

 

 

“Memandangkan hubungan kami selama 40 tahun dengan hartanah ini bermula daripada pembukaan Ming Court Hotel pada 1984 dan penjenamaan semula kepada Corus KLCC, kami menjangkakan pembangunan semula ini akan memperindah latar langit KLCC dan menambah daya tarikan kawasan berprestij ini,” katanya.

 

Pengambilalihan ini merupakan yang kedua bagi Mah Sing tahun ini, sekali gus mengukuhkan strateginya membuka nilai di lokasi bandar utama yang mempunyai permintaan tinggi.

 

Tanah yang kini menempatkan Hotel Corus di Jalan Ampang itu akan menjalani pembangunan semula menyeluruh selaras dengan visi Mah Sing terhadap pembaharuan bandar.

 

 

 

 

 

 

“Inisiatif ini bertujuan memberi nafas baharu kepada hartanah warisan, mewujudkan peluang pekerjaan semasa dan selepas pembinaan, serta merangsang ekonomi tempatan melalui peningkatan kehadiran pengunjung, pelancong dan aktiviti komersial.

 

“Kehadiran penduduk dan tetamu di kawasan ini akan menambah kemeriahan kepada perniagaan runcit, makanan dan minuman, kesihatan serta perkhidmatan profesional di sekitarnya,” kata Mah Sing. - DagangNews.com