MAG Holdings rancang guna teknologi pertanian pintar tingkatkan hasil pengeluaran udang sehingga 4 kali ganda, kata RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MAG Holdings rancang guna teknologi pertanian pintar tingkatkan hasil pengeluaran udang sehingga 4 kali ganda, kata RHB Investment

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 7 Feb - Pengeluar udang terbesar Malaysia, MAG Holdings Bhd merancang penggunaan teknologi penternakan pintar bagi meningkatkan hasil pengeluaran sehingga empat kali ganda serta meningkatkan kadar kemandirian udang sebanyak 10%.

 

RHB Investment berkata, penggunaan teknologi pintar itu termasuk penyuap automatik dan penderia pH merentasi 50% kolamnya. 

 

Katanya, pada tahun lalu, kumpulan itu telah menambah 32 kolam baharu dan meningkatkan kapasiti pembiakan sebanyak 800 tan (+13% ) dengan penuaian dijangka bermula pada separuh pertama FY25. 

 

Firma penyelidikan itu berkata, kolam kumpulan itu beroperasi pada kadar 79% dan telah mencapai pengeluaran pembiakan optimum.

 

"Selain udang putih, MAGH sedang mempelbagaikan portfolionya dengan meneroka pasaran udang harimau, yang mencatat nilai eksport tertinggi berbanding spesies udang lain. 

 

"Kumpulan itu juga sedang membangunkan produk udang siap masak dengan margin keuntungan kasar sebanyak 20%, serta makanan laut bernilai tinggi seperti ikan dan ketam selain bekerjasama dengan petani bagi memaksimumkan kapasiti kilang pemprosesan," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Investment berkata, dengan 25.2% bahagian pasaran, MAG Holdings terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju industri akuakultur negara melalui rumusan pertanian pintar dan pengembangan kapasiti pembiakan.

 

Katanya, syarikat yang berpangkalan di Sabah itu juga berjaya menembusi pasaran eksport utama seperti China dan Korea Selatan, termasuk meraih pelanggan baharu daripada rangkaian hotpot terbesar di China.

 

Firma penyelidikan itu berkata, China dan Korea Selatan adalah antara pembeli utama makanan laut Malaysia, menyerlahkan peranan penting kumpulan  dalam mengembangkan jualan makanan laut negara di peringkat global.

 

"Syarikat ini juga merupakan satu-satunya pengeluar udang tempatan yang menggunakan sistem pintu air inovatif, meningkatkan kecekapan penuaian sehingga 2.5 kali ganda berbanding kaedah tradisional.

 

"Dengan gabungan teknologi pintar, kapasiti pengeluaran yang kukuh, dan kehadiran global yang semakin meluas, MAG Holdings terus membuktikan dirinya sebagai peneraju industri akuakultur Malaysia," katanya.

 

Firma penyelidikan itu tidak menetapkan sebarang sasaran terhadap kumpulan tetapi memberikan harga wajar (FV) 30 sen sesaham. - DagangNews.com