KUALA LUMPUR 5 Feb – MAB Engineering Services, anak syarikat Malaysia Aviation Group (MAG), menandatangani perjanjian kerjasama lima tahun dengan Boeing bagi memperluas kemampuan penyelenggaraan, pembaikan dan overhaul (MRO) pesawat di rantau Asia-Pasifik.
Perjanjian itu diumumkan pada Pertunjukan Udara Singapura 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran Changi baru-baru ini.
Kerjasama ini membolehkan MAB Engineering Services menjadi rakan serantau untuk projek MRO masa depan Boeing serta menyediakan sokongan yang efisien, berkualiti dan kos efektif kepada syarikat penerbangan di rantau ini.


Ketua Pegawai Eksekutif Perkhidmatan Penerbangan MAG Mohd Nadziruddin Mohd Basri berkata kerjasama itu membuktikan keyakinan terhadap kepakaran dan piawaian MAB Engineering Services.
Beliau berkata usaha ini menyokong aspirasi Malaysia untuk diiktiraf sebagai pusat MRO bertaraf global.
“MAB Engineering Services mempunyai pengalaman menyelenggara pesawat Boeing sejak model 727 Classic dan 737 sehingga armada terkini.
“Kini, MAB Engineering Services beroperasi dengan tiga hangar dan 11 ruang pesawat di Sepang dan Subang, menjadikannya salah satu penyedia MRO terbesar di Asia-Pasifik,” katanya dalam satu kenyataan.
Kerjasama ini dijangka memperkukuh ekosistem penerbangan serantau dan meningkatkan kebolehpercayaan operasi syarikat penerbangan.
Dalam jangka panjang, inisiatif ini juga mampu menarik lebih banyak pelaburan, menyokong pembangunan modal insan berkemahiran tinggi, dan memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab MRO bertaraf dunia.
Mohd Nadziruddin menegaskan, kerjasama ini akan meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam industri penerbangan global dan menyasar untuk menyediakan penyelesaian MRO yang inovatif, cekap, dan boleh dipercayai bagi pengendali pesawat di rantau ini. - DagangNews.com








