KUALA LUMPUR 28 Ogos – M&A Equity Holdings Bhd (M&A) bercadang melaksanakan terbitan khas saham Bumiputera sehingga 285.53 juta unit saham baharu kepada pelabur seperti diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sebagai memenuhi syarat pemilikan ekuiti Bumiputera.
Terbitan khas tersebut mewakili 14.3% daripada modal saham terbitan syarikat pada masa ini (tidak termasuk saham perbendaharaan).
Harga terbitan akan ditentukan kemudian, menurut firma pembrokeran saham dan penasihat kewangan korporat itu dalam satu pemfailan kepada Bursa Malaysia.
Cadangan terbitan khas saham Bumiputera ini dilaksanakan bagi memenuhi syarat pemilikan ekuiti Bumiputera yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkaitan kelulusan pengambilalihan terbalik (reverse takeover) M&A Equity oleh M&A Securities Sdn Bhd.
Di bawah terma kelulusan SC, M&A Equity dikehendaki memperuntukkan sekurang-kurangnya 12.5% daripada jumlah saham terbitan diperbesarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan atau diiktiraf oleh MITI dalam tempoh setahun selepas mencatat keuntungan selepas cukai, atau tiga tahun selepas pelaksanaan cadangan, mana-mana yang terdahulu.
M&A Equity mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM12.2 juta bagi tempoh kewangan antara 1 Ogos 2022 hingga 30 Jun 2023.
Justeru, syarikat perlu memenuhi syarat pemilikan ekuiti Bumiputera selewat-lewatnya pada 30 Jun 2024.
Bagaimanapun, tempoh pematuhan tersebut telah dilanjutkan oleh SC sebanyak tiga kali iaitu sehingga 30 September 2024, 31 Mac 2025 dan terkini 31 Disember 2025.
Dianggarkan sekiranya saham terbitan khas itu dikeluarkan pada harga 24 sen sesaham, M&A Equity berpotensi meraih hasil kutipan sebanyak RM68.53 juta.
Hasil tersebut akan digunakan terutamanya bagi tujuan modal kerja, termasuk perbelanjaan pentadbiran dan operasi harian dalam menjalankan perniagaan perkhidmatan kewangannya.
Dana berkenaan akan diperuntukkan kepada modal kerja M&A Equity serta anak-anak syarikatnya, iaitu M&A Securities, M&A Value Partners Asset Management Malaysia Sdn Bhd dan M&A Digital Sdn Bhd.
Modal kerja M&A Securities antaranya merangkumi dana untuk menjelaskan obligasi harian yang perlu dibayar kepada Bursa Malaysia Securities Clearing Sdn Bhd bagi urus niaga pembrokeran sahamnya.
Sementara itu, modal kerja M\&A Digital pula akan digunakan bagi menawarkan skim pembiayaan kepada individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kurang mendapat akses pembiayaan daripada institusi kewangan berlesen berikutan syarat pinjaman yang ketat.
Syarikat juga menjelaskan bahawa terbitan khas ini berkemungkinan memberi kesan pencairan terhadap pendapatan sesaham (EPS) berikutan peningkatan bilangan saham terbitan baharu.
Saham M&A Equity ditutup naik setengah sen atau 2.04% kepada 25 sen pada Rabu, memberikan kumpulan itu modal pasaran sebanyak RM501 juta. - DagangNews.com








