Lynas jalin kerjasama dengan JS Link bangunkan pengeluaran magnet kekal nadir bumi di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lynas jalin kerjasama dengan JS Link bangunkan pengeluaran magnet kekal nadir bumi di Malaysia

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 24 Julai — Lynas Rare Earths Ltd memeterai perjanjian awal dengan pengeluar magnet kekal Korea Selatan, JS Link bagi membangunkan pengeluaran magnet kekal nadir bumi di Malaysia.

 

Menerusi memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani itu, Lynas akan bekerjasama dengan JS Link memajukan kemudahan untuk mengeluarkan 3,000 tan magnet sinter kekal jenis neodymium-besi-boron.

 

Menurut syarikat perlombongan tersenarai di bursa Australia itu, produk tersebut akan dikeluarkan secara komersial berhampiran dengan kilang bahan nadir bumi termajunya yang terletak di Kuantan, Pahang.

 

"Selain itu, Lynas juga akan membekalkan bahan nadir bumi ringan dan berat kepada JS Link, yang disenaraikan di Bursa Korea Selatan," kata syarikat bahan galian berkenaan dalam satu kenyataan.

 

Bagaimanapun, kos keseluruhan projek tersebut dan butiran lain tidak didedahkan, namun menyatakan, MoU itu menyokong pengeluaran magnet serta tidak mengikat dan tertakluk perjanjian muktamad.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Lynas, Amanda Lacaze dalam kenyataan itu berkata, banyak pengilang di seluruh dunia sedang giat mencari pembekal baharu untuk memenuhi keperluan mereka.

 

Langkah berkenaan juga tambah beliau, berikutan permintaan yang semakin meningkat untuk magnet jenis kekal dan terkuat serta dapat digunakan secara luas dalam proses pembuatan turbin angin.

 

Magnet berkenaan turut sesuai dipasang dalam pelbagai peranti lain yang memerlukan penggunaan tork dan kuasa tinggi, seperti mesin pengimbas MRI di hospital. - DagangNews.com