KUALA LUMPUR 25 Nov – Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dijangka mengurangkan pegangan dalam Affin Bank Bhd kepada sekitar 9% daripada keseluruhan aset lembaga itu menjelang 2030.
Dana pencen anggota tentera tersebut, turut menjangkakan pendedahan asetnya menurun kepada 12% dalam Boustead Holdings Bhd, 7% dalam Boustead Plantations Bhd, dan 3% dalam Kumpulan Irat, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Dewan Rakyat.
Khaled berkata kerjasama dengan rakan strategik serta penjualan saham dan aset strategik akan membolehkan LTAT menjana dana untuk pelaburan berpendapatan tetap berisiko rendah.
“Ini akan memberikan jaminan yang lebih kukuh terhadap pulangan yang mampan dan stabil kepada para penyumbang,” tambahnya.
Affin Bank, antara bank paling kecil di negara ini, kini merangkumi kira-kira 10% daripada jumlah aset LTAT setakat 2025. LTAT kini memiliki 22% kepentingan dalam Affin Bank selepas dana itu dan Boustead menjual hampir 27% pegangan mereka kepada kerajaan Sarawak bagi membantu mengurangkan hutang.
Usaha kepelbagaian ini adalah sebahagian daripada pelan yang dinamakan Project Earth, yang melibatkan LTAT mengurangkan pegangan dalam aset yang dianggap strategik kepada 35% daripada keseluruhan asetnya. Setakat Julai 2025, pendedahan aset strategik LTAT berjumlah 57.8%.
Khaled menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai strategi bagi memastikan LTAT dapat memberikan dividen setara tahun-tahun prestasi kukuh seperti 2017 dan sebelumnya.
Menurut Khaled, selain mengurangkan pegangan dalam aset strategik, LTAT juga sedang melaksanakan langkah bagi menurunkan hutang subsidiari seperti Boustead Plantations, sekali gus membebaskan dana untuk meningkatkan prestasi pelaburan.
Dalam masa sama, Boustead, Pharmaniaga Bhd, dan Boustead Plantations sedang melalui proses pemulihan operasi di bawah Project Earth yang diluluskan LTAT pada 9 Ogos 2024 dan dibentangkan kepada Jemaah Menteri pada 13 Disember 2024.
"LTAT kini turut meneliti semula kerangka peruntukan aset strategiknya yang kini dalam semakan Kementerian Kewangan sebelum mendapat kelulusan sepenuhnya," ujar Khaled.
Kedudukan kewangan LTAT sebelum ini menjadi perhatian apabila Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada November 2024 menyatakan kebimbangan mengenai kestabilan dana itu serta penggantungan pelan penstrukturan terdahulu, Project Moonshot.
PAC ketika itu memberi amaran bahawa krisis aliran tunai Boustead dan pelbagai isu kewangan berpotensi menghakis sehingga 50% dana LTAT, sekali gus menjejaskan hampir RM5 bilion wang pencarum. - DagangNews.com








