​​​​​​​Lobi politik dikatakan punca keputusan Projek LRT Pulau Pinang RM3 bilion tertunda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

​​​​​​​Lobi politik dikatakan punca keputusan Projek LRT Pulau Pinang RM3 bilion tertunda

KUALA LUMPUR 24 Mac - Keputusan akhir kontrak sistem Projek LRT Pulau Pinang yang bernilai hampir RM3 bilion kini dikatakan tertunda akibat lobi politik yang amat sengit.

 

MRT Corp memaklumkan bon tender yang sepatutnya tamat pada 31 Mac kini dilanjutkan sehingga hujung Jun, memastikan tawaran yang dikemukakan penender kekal sah sementara tekanan politik berterusan, menurut laporan The Edge.

 

Hanya empat syarikat kekal dalam senarai pendek: Gamuda, MMC Group, YTL Group, dan gabungan Lion Pacific Sdn Bhd-WCT Holdings, yang menawarkan harga terendah.

 

Gamuda bekerjasama dengan CRRC dan syarikat isyarat dari China, manakala YTL dan WCT JV menggunakan Siemens dan CRRC. MMC, milik Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary, memilih teknologi Jepun – Hitachi untuk isyarat dan Hyundai Rotem untuk rolling stock.

 

 

 

 

 

 

Syed Mokhtar sendiri dikatakan sangat berminat dengan projek ini kerana peluang kerja LRT Pulau Pinang adalah antara projek urban terkini di bawah kerajaan sekarang. Ia memberi ruang untuk mempertimbangkan teknologi selain dari China.

 

Keputusan akhir kontrak sistem telah beberapa kali ditangguh. Penender diberitahu tahun lalu keputusan dijangka dibuat minggu ketiga Januari, tetapi sehingga kini tiada pengumuman rasmi.

 

“Lobi politik sangat hebat. Jika tidak kerana tekanan ini, keputusan sepatutnya sudah diumumkan,” kata sumber industri yang rapat dengan projek kepada The Edge.

 

"Satu kumpulan penender dilaporkan melobi Kementerian Pengangkutan, manakala kumpulan lain mendekati Kementerian Kewangan. Dengan peluang projek LRT Pulau Pinang sebagai satu-satunya kerja pengangkutan besar yang muncul selepas beberapa tahun, semua syarikat berebut peluang," kata laporan tersebut lagi.

 

Projek Infrastruktur Terbesar dan Pakej Sistem

Projek LRT Pulau Pinang adalah inisiatif terbesar di bawah pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim, merangkumi laluan hampir 30km dari Silicon Island berhampiran Zon Perindustrian Bayan Lepas ke Penang Sentral, Butterworth. Ia bakal menjadi penghubung utama bagi pekerja dari tanah besar ke hab industri di pulau itu.

 

Kos pembinaan dijangka RM13 bilion hingga RM16 bilion, dibahagikan kepada tiga pakej. SRS Consortium, diterajui Gamuda Bhd, memenangi kontrak pembinaan sivil bernilai RM7.9 bilion di bahagian pulau. Kontrak lain ialah pakej sistem dan sambungan laut sejauh 5km ke Butterworth.

 

Tender pakej sistem merangkumi rolling stock, sistem isyarat dan kerja landasan. Ia sepatutnya ditutup April tahun lalu, tetapi hanya selesai pada Jun selepas lebih 15 addendum. Tambahan September menurunkan spesifikasi dari empat gerabak kepada tiga, memberi fleksibiliti awal kepada MRT Corp.

 

 

 

 

 

Projek lain yang melibatkan syarikat China termasuk RTS Johor Bahru-Woodlands dan LRT3 Bandar Utama-Klang. RTS dijangka siap akhir tahun ini, manakala LRT3 ditunda beberapa kali kerana isu teknikal, kini dijadual beroperasi Jun ini.

 

Pakej sistem LRT Pulau Pinang dijangka diberikan kepada satu daripada tiga penender utama yang belum menang kontrak. Namun, jika lobi politik terlalu kuat, keputusan mengejutkan mungkin berlaku — meskipun senario itu dianggap mungkin tidak berlaku. - DagangNews.com