Lima bekas perunding skim pelaburan didapati salah laku, melanggar peraturan ditegur FIMM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lima bekas perunding skim pelaburan didapati salah laku, melanggar peraturan ditegur FIMM

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Julai — Lima bekas perunding skim unit amanah (UTS) dan skim persaraan swasta (PRS) ditegur Persekutuan Pengurus Pelaburan Malaysia (FIMM) kerana salah laku atau pelanggaran peraturan.

 

FIMM berkata, empat didapati mengemukakan sijil akademik palsu untuk permohonan pendaftaran atau pendaftaran semula sebagai perunding skim kepada pengedar masing-masing.

 

Bagaimanapun tambahnya, kesemua bekas perunding yang dikenal pasti tersebut, telah dihalang daripada mendaftar dengan FIMM untuk tempoh yang tetap.

 

“Individu berkenaan ialah Khafidah Adam, Nurul Qamariah Kalah, Rossidi Jalaludin dan Sathiskumar Sanggar,” kata FIMM dalam satu kenyataan hari ini.

 

FIMM juga berkata, Nurfarhana Atiqah Mohamad pula didapati telah melanggar Kod Etika dan Peraturan Kelakuan Profesional (Dana Unit Amanah) FIMM.

 

Dia dikesan melakukan beberapa transaksi tanpa kebenaran, salah nyata dan penyelewengan dana berdasarkan peraturan FIMM. - DagangNews.com