KUALA LUMPUR 5 Dis – Life Water Bhd, pengeluar air botol terbesar Sabah, dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan bersih yang kukuh bagi tempoh tiga tahun akan datang dengan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) 22.9 peratus dari tahun kewangan 2025 (FY25) hingga FY28.
CIMB Securities berkata prospek cerah Life Water disokong oleh permintaan organik stabil di Sabah, peluang pengembangan ke peringkat serantau serta pelancaran produk-produk baharu.
Menurut firma itu, Life Water kini memperluas fokus perniagaannya daripada air minuman kepada segmen minuman berkarbonat yang menawarkan margin lebih tinggi.
"Syarikat tersebut juga menceburi segmen FMCG bukan minuman selepas pengambilalihan Twinine pada Julai lalu, iaitu pengeluar sos dan perasa.
“Strategi kepelbagaian ini membuka akses kepada pasaran lebih besar dan meningkatkan ketahanan pendapatan. Ia turut mewujudkan peluang jualan silang melalui lebih 5,000 titik pengedaran, sekali gus memposisikan Life Water sebagai platform FMCG Malaysia Timur pada masa depan,” kata firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Kapasiti Pengeluaran Dijangka Meningkat 2.1 Kali Ganda
Kapasiti pengeluaran air botol syarikat itu dijangka melonjak daripada 389 juta liter pada FY24 kepada 804 juta liter menjelang FY28 – peningkatan sebanyak 2.1 kali ganda.
Pertambahan ini akan disokong oleh fasiliti pembungkusan PET yang dipertingkatkan bagi meningkatkan kecekapan pembotolan.
CIMB menjelaskan pasaran minuman Sabah merupakan yang paling bergantung kepada import, sekali gus menyediakan peluang kepada syarikat itu mengambil alih segmen pasaran berkenaan.
“Import air botol sahaja menyumbang peningkatan kira-kira 19.5 peratus kepada volum Life Water pada 2023,” tambahnya.
Pengembangan Rentas Sempadan
Prospek pertumbuhan syarikat dijangka terus kukuh menerusi penyertaan rangkaian pasar mini terbesar Sabah ke dalam rangkaian pengedaran Life Water, pengembangan ke Sarawak dan Brunei, serta permintaan semakin meningkat dari Filipina dan Indonesia.
Kemasukan pelancong menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 turut dijangka meluaskan pasaran Life Water melepasi Sabah.
CIMB Securities memulakan liputan ke atas Life Water dengan saranan BELI dan menetapkan harga sasaran RM2.05, mengambil kira kedudukannya sebagai peneraju pasaran di Sabah dan potensi pertumbuhan yang kukuh hasil strategi kepelbagaian dan peluasan kapasiti. - DagangNews.com








