Liew Yun Fah dilantik sebagai Pengerusi TDA | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Liew Yun Fah dilantik sebagai Pengerusi TDA

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 15 Julai – Technology Depository Agency Bhd (TDA) mengumumkan pelantikan Tan Sri Liew Yun Fah sebagai Pengerusi baharunya berkuat kuasa 15 Jun 2026, ketika agensi itu mempergiat usaha memperkukuh pembangunan keupayaan teknologi negara menerusi perolehan strategik kerajaan.

 

Pelantikan itu dibuat ketika TDA memasuki dekad kedua operasinya dengan mandat yang semakin berkembang dalam pelaksanaan Program Kolaborasi Industri (ICP) dan Kontrak Berasaskan Prestasi (PBC), dua inisiatif yang bertujuan memastikan perbelanjaan kerajaan memberi pulangan lebih besar kepada pembangunan industri tempatan.

 

Menurut TDA, pengalaman luas Liew dalam kepimpinan sektor awam dan tadbir urus strategik dijangka memperkukuh usaha agensi itu untuk memastikan perolehan kerajaan bukan sahaja memenuhi keperluan operasi, malah menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi, inovasi dan pertumbuhan industri.

 

Ditubuhkan pada 2015, TDA diberi mandat oleh Kementerian Kewangan untuk menyelia pelaksanaan ICP di bawah Pekeliling Perbendaharaan PP/PK 1.7 serta menjadi Pusat Rujukan Malaysia bagi PBC di bawah Pekeliling Perbendaharaan PP/PK 1.8.

 

Agensi itu turut bekerjasama dengan kementerian, agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pemain industri strategik bagi memaksimumkan nilai ekonomi, teknologi dan perindustrian daripada projek-projek perolehan kerajaan.


 

TDA
Tan Sri Liew Yun Fah (enam kiri) bersama Mohamad Rafidi Mat Dahan, CEO TDA Berhad mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun.


 

Fokus perkukuh ekosistem teknologi negara

Mengulas pelantikannya, Liew berkata beliau berbesar hati diberi kepercayaan memimpin TDA ketika agensi itu memasuki fasa baharu pertumbuhan.

 

"Sepanjang sedekad lalu, TDA telah membina asas yang kukuh serta memperoleh kepercayaan daripada kerajaan, pihak industri dan pelbagai pihak berkepentingan strategik.

 

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan Ahli Lembaga Pengarah, pihak pengurusan serta semua pihak berkepentingan bagi terus memperkukuh sumbangan agensi ini ke arah pembangunan teknologi dan perindustrian Malaysia," katanya.

 

Menurut TDA, agensi itu akan terus memperkukuh pelaksanaan ICP, memperluaskan penggunaan PBC serta mempercepat pembangunan keupayaan teknologi dan inovasi melalui kerjasama yang lebih erat antara kerajaan, industri dan institusi akademik.

 

Di bawah kepimpinan Liew, TDA berkata fokus turut diberikan kepada usaha meningkatkan daya saing industri, memperkukuh daya tahan ekonomi dan menyokong aspirasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi yang dipacu inovasi. DagangNews.com