LGMS sasar pindah penyenaraian ke Pasaran Utama pada 4QFY25 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LGMS sasar pindah penyenaraian ke Pasaran Utama pada 4QFY25

Gambar/LGMS Bhd
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Jun - Syarikat penyedia perkhidmatan keselamatan siber, LGMS Bhd, merancang untuk memindahkan penyenaraiannya dari Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia selepas memenuhi syarat keuntungan yang ditetapkan.

 

LGMS berkata, syarikat mencatat keuntungan selepas cukai berjumlah RM35.11 juta dalam tempoh tiga tahun kewangan lepas, melebihi syarat minimum RM20 juta yang ditetapkan oleh Garis Panduan Ekuiti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

 

"Bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2024, LGMS meraih keuntungan RM12.34 juta, berbanding RM11.22 juta pada 2023 dan RM11.55 juta pada 2022.

 

"Syarikat juga memenuhi syarat kewangan sihat, termasuk mempunyai modal kerja mencukupi untuk tempoh sekurang-kurangnya 12 bulan dan tiada kerugian terkumpul," katanya dalam makluman di Bursa Malaysia.

 

Jelasnya, setakat Disember 2024, nisbah semasa LGMS ialah 7.24 kali, dengan aset semasa sebanyak RM82.17 juta, liabiliti semasa RM11.35 juta, serta tunai RM67.94 juta termasuk deposit tetap RM120,000.

 

LGMS berkata, pemindahan ke Pasaran Utama akan membantu meningkatkan imej syarikat, menunjukkan keyakinan pelabur institusi, serta menarik lebih banyak perhatian pelabur.

 

Pemindahan penyenaraian itu dijangka selesai menjelang suku keempat 2025. - DagangNews.com