KUALA LUMPUR 3 Feb - Insentif Pengeluaran Getah (IPG) bagi pekebun kecil di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak tidak diaktifkan untuk Januari 2025.
Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), ia hanya akan diaktifkan sekiranya harga purata bulanan di peringkat ladang bagi getah sekerap berada pada paras RM3.00 sekilogram atau lebih rendah.
"Bagi Januari 2025, harga purata peringkat ladang bagi getah sekerap di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak adalah masing-masing RM3.70, RM3.40 dan RM3.20 sekilogram.
"Oleh itu, tiada pembayaran IPG dilakukan bagi bulan itu," kata LGM dalam satu kenyataan.
LGM selain itu berkata, IPG lateks pula akan diaktifkan apabila IPG getah sekerap diaktifkan.
IPG lateks ditetapkan pada RM0.90 sekilogram bagi 100 peratus kandungan getah kering (KGK) dan akan dibayar kepada pekebun kecil getah warganegara Malaysia yang layak serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. - DagangNews.com








