KUALA LUMPUR 31 Dis - LFE Engineering Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh LFE Corporation Bhd, menerima Surat Niat (LOI) daripada Sunway Constructions Sdn. Bhd. untuk dilantik sebagai subkontraktor bagi kerja-kerja perkhidmatan elektrik bernilai RM11.5 juta melibatkan projek pembinaan pusat data.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, LFE berkata, LOI bertarikh 24 Disember 2025 itu adalah bagi Cadangan Pembinaan Sebuah Pusat Data (Data Centre) Beserta Pejabat Secara Berfasa yang terletak di PT 13793, Jalan Tekno Usahawan 1, Taman Teknologi Malaysia, Mukim Petaling, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Skop kerja subkontrak merangkumi pembekalan, penghantaran, pemasangan, pengujian, pentauliahan serta penyelenggaraan perkhidmatan elektrik secara harga pukal, termasuk semua tenaga kerja, bahan, jentera, peralatan, penyeliaan dan kerja berkaitan bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar mengikut spesifikasi dan keperluan yang ditetapkan.
Projek itu dijadualkan bermula pada 30 Disember 2025 dan dijangka siap pada 11 Ogos 2026, melibatkan tempoh pelaksanaan kira-kira lapan bulan.
Menurut LFE, kumpulan tidak menjangkakan sebarang risiko material yang timbul daripada kontrak tersebut selain risiko operasi biasa, yang akan diuruskan melalui langkah-langkah kawalan yang bersesuaian.
Dari segi kewangan, kontrak berkenaan dijangka memberi sumbangan positif kepada pendapatan serta aset bersih sesaham Kumpulan LFE bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 sehingga projek tersebut siap sepenuhnya.
LFE turut memaklumkan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu yang berkaitan mempunyai sebarang kepentingan, sama ada secara langsung atau tidak langsung, dalam kontrak berkenaan. - DagangNews.com








