Letupan Putra Heights: Tanah lembik punca paip gas meletup, tiada kecuaian – Laporan Siasatan JKKP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Letupan Putra Heights: Tanah lembik punca paip gas meletup, tiada kecuaian – Laporan Siasatan JKKP

KUALA LUMPUR 30 Jun - Siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) mendedahkan letupan paip gas di Putra Heights berpunca daripada ketidakstabilan tanah di kawasan berkenaan.

 

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum JKKP, Husdin Che Amat, menjelaskan bahagian bawah paip tidak disokong dengan mencukupi oleh tanah lembik dan lembap, menyebabkan segmen paip di lokasi kejadian mengalami kegagalan struktur.

 

"Ketidakstabilan ini mengakibatkan kebocoran gas yang kemudiannya terbakar dan meletup," katanya dalam sidang media hari ini.

 

Tambah beliau, keadaan tanah yang lemah menyebabkan paip mengalami pergerakan berulang – dikenali sebagai beban kitaran (cyclic loading) – yang menghasilkan garis tekanan dan rekahan letih (fatigue striations) pada permukaan paip.

 

Hasil analisis metalografik menunjukkan kegagalan tanah berlaku secara beransur-ansur akibat beban tegangan berlebihan, sebelum akhirnya menyebabkan kegagalan salur paip secara mulur (ductile failure), membebaskan gas dan mencetuskan kebakaran besar.

 

“Kesimpulannya, kegagalan paip ini bukan berpunca daripada sebarang kerja di permukaan, sebaliknya disebabkan tanah di bawahnya yang terlalu lembut dan tidak mampu menampung berat serta tekanan paip tersebut,” tegas Husdin.

 

Namun begitu, laporan siasatan turut mengesahkan bahawa paip gas berkenaan telah dipasang mengikut spesifikasi teknikal yang ditetapkan.

 

Tiada Unsur Khianat atau Kecuaian

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan bahawa tiada unsur sabotaj atau kecuaian dikesan dalam insiden letupan paip gas Petronas di Putra Heights.

 

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan api serta Seksyen 285 dan 286 berkaitan kecuaian melibatkan api atau bahan mudah terbakar.

 

Siasatan turut meneliti kerja-kerja yang dilakukan oleh kontraktor di sekitar lokasi kejadian.

 

Langkah Pencegahan Akan Dilaksanakan

Dalam pada itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi merangka langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan tragedi seumpama ini berulang.

 

Letupan yang berlaku sekitar jam 8 pagi itu telah menyebabkan kebakaran berskala besar, memusnahkan kediaman, infrastruktur awam, dan kenderaan, serta mencederakan lebih 150 orang.

 

Api menjulang setinggi lebih 30 meter dengan suhu dianggarkan mencecah 1,000 darjah Celsius. Ia mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya, dan meninggalkan kawah sedalam 9.8 meter di lokasi kejadian.

 

Lebih 500 penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara. Sebahagian mangsa yang kehilangan rumah sepenuhnya masih belum dapat pulang kerana proses pembaikan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.

 

Sebanyak 81 buah rumah mengalami kerosakan struktur melebihi 40%, 81 lagi rosak sebahagian, manakala 57 kediaman lain turut terjejas tetapi tidak terbakar. - DagangNews.com