KUALA LUMPUR 6 Feb – Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) di Mersing, Johor, menyasarkan untuk menyumbang 16% daripada bekalan susu segar nasional, menyokong matlamat Malaysia mencapai 100% kadar sara diri (SSR) susu segar menjelang 2030.
Loji pemprosesan susu itu dijangka mula beroperasi pada suku pertama 2027 dengan kapasiti awal 14 juta liter setahun, berpotensi berkembang sehingga 30 juta liter, termasuk produk susu pasteur dan variasi berperisa seperti strawberi, coklat dan kurma.
JDV kini menempatkan 1,000 lembu Jersey Friesian A2A2 yang diimport dari Australia pada November 2025.
Jumlah ternakan dijangka terus meningkat kepada 4,000 ekor menjelang tahun ketiga operasi, dengan pengeluaran susu tahunan dijangka meningkat secara berperingkat sehingga 12 juta liter menjelang 2029.
Ketua Pegawai Eksekutif JDV, Qasem Alhasan berkata projek ini dibangunkan melalui kerjasama awam-swasta antara Johor Corporation (JCorp) dan Rhone Ma Holdings Berhad.

“Ia adalah projek pembangunan ekosistem tenusu bersepadu yang merangkumi ladang, pemprosesan dan pengedaran susu.
“JDV direka untuk mengurangkan kebergantungan import, membina keupayaan tempatan dan menjadi model rujukan nasional bagi pembangunan tenusu moden dan mampan.
“Loji pemprosesan ini dilengkapi dengan teknologi canggih bertaraf dunia bagi meningkatkan kecekapan pengeluaran dan pada masa sama mengutamakan aspek kesihatan haiwan ternakan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.
Sistem pengurusan sifar sisa turut diperkenalkan, menukar najis lembu kepada baja organik untuk kegunaan ladang, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada baja sintetik.
JDV turut menekankan pembangunan bakat tempatan dengan menawarkan latihan teknikal berstruktur dengan gaji melebihi minimum nasional.


Beliau berkata program ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan literasi teknikal, seterusnya menyokong pembangunan industri tenusu tempatan dalam jangka panjang.
“Selain pengeluaran, JDV dijangka menyokong Program Susu Sekolah di Wilayah Selatan, meningkatkan akses dan permintaan terhadap susu tempatan.
“Projek ini juga menyasar membekalkan produk berkualiti tinggi untuk pengguna domestik, menyumbang kepada ketahanan makanan nasional dan kestabilan harga pasaran susu.
“Dalam tempoh tiga tahun akan datang, JDV merancang pembangunan agropelancongan dan pusat latihan untuk melahirkan bakat muda serta usahawan dalam teknologi pertanian moden,” katanya.
Inisiatif ini dijangka menambah nilai kepada ekonomi Johor melalui penciptaan pekerjaan dan pembangunan kemahiran berimpak tinggi.
Beliau berkata projek ini adalah ekosistem tenusu menyeluruh yang menggabungkan teknologi pertanian bertaraf dunia, amalan lestari dan pembangunan bakat untuk memastikan pengeluaran susu tempatan berkualiti tinggi dapat memenuhi permintaan nasional sambil menyokong strategi ketahanan makanan Malaysia.
JDV dikendalikan oleh Jemaluang Dairy Valley Sdn Bhd, syarikat tujuan khas yang ditubuhkan bersama oleh Kulim (Malaysia) Berhad, anak syarikat JCorp, dan A2 Fresh Holdings Sdn Bhd, anak syarikat Rhone Ma.
Syarikat ini diberi mandat untuk membangunkan, mengurus dan mengendalikan perniagaan tenusu bersepadu di Johor, termasuk pembangunan ladang, loji pemprosesan dan program latihan bakat tempatan - DagangNews.com








