Lebihan kos projek tidak dijangka, hasil Pekat Group masih berisiko terjejas - Phillip Capital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Lebihan kos projek tidak dijangka, hasil Pekat Group masih berisiko terjejas - Phillip Capital

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Ogos — Masalah lebihan kos projek yang tidak dijangka daripada persaingan sengit pasaran diramal boleh menjejaskan pendapatan Pekat Group Berhad, menurut Phillip Capital.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara risiko kelemahan utama yang dikhuatiri boleh berlaku ke atas kumpulan kejuruteraan elektrik berkenaan dalam industri perkhidmatan tenaga hijau di Malaysia.

 

Di samping itu tambahnya, hasil syarikat berkenaan dikenal pasti mungkin berdepan dengan isu margin yang kurang daripada anggaran awal serta kelewatan pelaksanaan projek disebabkan pelbagai faktor.

 

"Peningkatan mendadak dalam harga panel solar terutama jenis fotovoltaik di pasaran yang terdedah luas kepada ketidaktentuan juga boleh menjejaskan hasilnya," kata Phillip Capital dalam notanya.

 

Bagaimanapun, firma tersebut meyakini kemampuan Pekat Group ketika ini dan ia terbukti apabila kumpulan itu meraih kontrak baharu daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai RM31.32 juta.

 

Tender tersebut diperoleh anak syarikat milik tidak langsungnya, EPE Switchgear (M) Sdn Bhd dan kejayaan itu membolehkan ia mencatat buku tempahan tertunggak sebanyak RM356.3 juta setakat ini.

 

Phillip Capital menganggarkan margin keuntungan bersih untuk projek ini ialah 15 peratus, sejajar dengan margin yang kebiasaannya dapat dilihat dalam sebarang kontrak penyelenggaraan TNB sendiri.

 

"Angka itu sebenarnya melebihi purata sejarah EPE Switchgear yang sebanyak 10 hingga 12 peratus, tetapi kami tidak membuat perubahan pada unjuran pendapatan Pekat Group," kata firma tersebut.

 

Ia sebaliknya menunggu keputusan kewangan terbaharu kumpulan itu untuk tempoh suku kedua tahun ini dijadualkan pada 22 Ogos 2025 dan mungkin pengumuman kontrak terkini TNB dalam masa terdekat.

 

Tambahnya, Pekat Group sedang mengintai satu lagi tender jangka panjang yang berpotensi bernilai hingga RM130 juta setelah tawaran ditutup pada 25 Julai 2025 dan mungkin menjana hasil tambahan.

 

Selain itu Phillip Capital mengesahkan pandangan positif kumpulan itu sebagai penerima utama belanjawan TNB yang dibenarkan lebih tinggi iaitu RM42.8 bilion untuk tempoh 2025 sehingga 2027.

 

"Berdasarkan perkembangan semasa itu, kami masih mengekalkan penarafan 'pegang' dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM1.57 sesaham," katanya. - DagangNews.com