KUALA LUMPUR 5 Feb – Sektor minyak dan gas (O&G) Malaysia terus berdepan tekanan jangka pendek susulan aktiviti luar pesisir yang perlahan dan lebihan bekalan kapal sokongan luar pesisir (OSV).
Perkembangan itu mendorong Maybank Investment Bank, yang baru-baru ini melawat OSV Wisdom dan Grace milik Keyfield International Berhad, mengekalkan pandangan 'neutral' ke atas sektor berkenaan.
Menurut firma penyelidikan itu, pemerhatian lapangan di Labuan pada Januari 2026 mendapati jumlah kapal tersebut yang tidak mempunyai kontrak adalah lebih tinggi berbanding tempoh sama tahun lalu.
"Situasi ini mencerminkan persekitaran perbelanjaan modal domestik (capex) daripada syarikat O&G yang lebih rendah serta permintaan luar pesisir masih lembap," katanya dalam nota kajian hari ini.
Hasil lawatan tersebut menunjukkan dua kapal itu masih berlabuh menunggu penugasan atau penempatan semula, yang mengukuhkan pandangan subsektor OSV terus berdepan cabaran dalam tempoh terdekat.
Maybank IB menjangkakan kadar penyewaan harian (DCR) bagi OSV berpotensi mencatat penurunan satu digit pada separuh pertama 2026, tetapi penurunan tersebut dianggarkan tidak akan melebihi 10%.
Keadaan yang lemah tersebut, berikutan faktor ketidakseimbangan antara isu lambakan bekalan dan kekurangan permintaan, serta dijangka berterusan sekurang-kurangnya untuk enam bulan akan datang.
"Bagaimanapun, kami berpandangan kemerosotan kitaran kali ini adalah sederhana dan tidak seteruk kejatuhan yang dialami sektor berkenaan pada 2014 atau 2020," jelas firma penyelidikan tersebut.
Justeru kata Maybank IB, kebanyakan syarikat OSV masih dijangka mencatat keuntungan, manakala dari segi kadar penggunaan kapal berkenaan diunjur kekal mendatar tahun ke tahun (YoY) pada 2026.
Tambahnya, dengan kadar sewaan yang sedikit lebih rendah, keadaan ini mencerminkan persekitaran tender yang semakin kompetitif susulan tahap aktiviti luar pesisir yang kurang kepada sederhana.
Sehubungan itu, prospek pertumbuhan hasil syarikat OSV seperti Keyfield International, Perdana Petroleum dan Nam Cheong dijangka kekal terhad, sementara pasaran menunggu pemangkin baharu.
"Kami namun melihat potensi kitaran peningkatan capex berskala kecil bermula 2027, selari jangkaan pemulihan perbelanjaan oleh PETRONAS selepas tempoh kelembapan selama dua tahun," jelasnya lagi.
Sehubungan itu tambah Maybank IB, perkembangan positif rundingan antara PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) turut dilihat berpotensi menjadi pemangkin penilaian semula sektor O&G.
Ia menilai prestasi pendapatan sektor ini kelazimannya bergerak seiring trend perbelanjaan capex PETRONAS, dan akan terus memantau bagi mengenal pasti tanda awal pemulihan. - DagangNews.com








