KUALA LUMPUR 16 Feb - Pemaju pusat data di Gelang Patah yang berdepan protes penduduk baru-baru ini bersetuju menambah lebih banyak pagar penghalang dan jaring bagi mengurangkan pencemaran habuk kawasan sekitarnya.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad berkata, pemaju turut berjanji untuk menutup kawasan tanah terdedah dengan jaringan hijau selain sedang melaksanakan semburan air menggunakan beberapa lori
tangki.
"Wakilnya memaklumkan bahawa stok jaringan sebanyak 10,000 meter persegi sedang dihantar ke tapak, dan mereka juga akan melaksanakan proses hydro-seeding atau pembenihan hidro.
"Kaedah ini merupakan teknik penanaman hidraulik yang pantas, kos efektif dan efisien untuk membentuk tumbuh-tumbuhan, terutamanya di kawasan luas bagi mengekalkan kelembapan tanah," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu beliau telah mengadakan sesi penerangan bersama penduduk dan pihak-pihak terlibat termasuk, pemaju dan pemilik pusat data baru-baru ini.

Johor yang terkenal dengan kepesatan pembangunan pusat data menjadi perhatian antarabangsa apabila agensi berita asing melaporkan bantahan penduduk yang mendakwa pembinaan pusat data berkenaan telah mencemarkan udara di kawasan perumahan mereka.
Dakwaan itu bagaimanpun dinafikan pemilik pusat data berkenaan yang mendakwa proses pembinaan utama telah tamat, hanya kerja-kerja akhir minimum yang tidak memungkinkan berlaku pencemaran udara.
Mengenai aduan berhubung aktiviti pembinaan yang berlarutan melebihi masa yang disyaratkan, iaitu jam 10 malam, dan mengganggu ketenteraman penduduk, Pandak berkata Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) akan memantau perkara ini serta mengambil tindakan penguatkuasaan sewajarnya.
Katanya, penduduk juga menggesa agar pihak Tropicana Firstwide melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menanggung kos dobi serta bil rawatan kesihatan yang berpunca daripada pencemaran udara.
Tambahnya, mereka turut memohon agar kos elektrik dan air ditanggung oleh Tropicana Firstwide kerana kekerapan mencuci rumah telah menyebabkan bil meningkat.
"Pada masa ini, Tropicana Firstwide telah menyediakan sebuah pusat cuci kereta percuma, namun jumlah tersebut tidak mencukupi dan perlu ditambah.
"Cadangan-cadangan ini akan dipertimbangkan oleh pihak Tropicana Firstwide dan keputusan akan diumumkan dalam sesi townhall seterusnya dalam masa terdekat," kata Pandak.
Kira-kira 50 penduduk hadir, termasuk Ketua Kampung Pulai Gelang Patah, Abdul Rahman Halim dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Penduduk Pusat Data, Ramli Paiman menghadiri sesi townhall berkenaan.
Turut hadir ialah Ahli Majlis Zon 8 MBIP, Akmal Melan; pegawai-pegawai MBIP dan Jabatan Alam Sekitar (JAS), wakil pemaju induk Tropicana Firstwide Sdn Bhd, serta wakil pusat data ZDATA Technologies.
Antara kawasan yang terjejas termasuk Taman Nusantara Prima, Taman Nusa Bayu dan Pangsapuri Bayu
Angkasa. - DagangNews.com








