KUALA LUMPUR 19 Ogos - Seramai 133,159 graduan cemerlang ijazah kelas pertama telah mendapat pengecualian bayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Dewan Rakyat diberitahu.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, jumlah pengecualian itu bernilai kira-kira RM2.9 bilion.
“Ini merupakan insentif kepada graduan yang mempunyai pinjaman PTPTN. Mereka akan dikecualikan jika berjaya memperoleh ijazah kelas pertama,” katanya semasa Waktu Pertanyaan di Parlimen hari ini.
Beliau menjelaskan, kemudahan untuk pembayaran balik di portal dalam talian PTPTN akan kembali beroperasi mulai 1 September.
“Mereka yang layak untuk pengecualian boleh membuat rayuan ketika itu,” katanya menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) yang bertanya sama ada graduan ijazah kelas pertama tidak lagi layak mendapat pengecualian pinjaman PTPTN.
Sebelum ini dilaporkan, graduan kelas pertama yang cemas dan kecewa telah merayu penjelasan selepas diminta membuat bayaran balik, walaupun sebelum ini dimaklumkan mereka layak untuk pengecualian.
Perkara itu timbul selepas cubaan membuat rayuan melalui portal dalam talian PTPTN hanya dipaparkan notis “ditutup sementara”.
Dalam perkembangan berasingan, Mustapha berkata belum ada keputusan dibuat berhubung penguatkuasaan semula larangan perjalanan ke luar negara terhadap peminjam PTPTN yang gagal membayar balik.
Beliau berkata, PTPTN bersedia membantu peminjam menyusun semula jadual bayaran balik atau menangguhkan pembayaran sekiranya mereka masih belum mempunyai pendapatan atau masih belajar.
“Kami juga mengeluarkan peringatan dan notis kepada peminjam supaya bayaran balik dapat dilaksanakan,” katanya.
Sehingga Julai, beliau berkata PTPTN telah meluluskan pinjaman kepada 13.1 juta peminjam daripada golongan berpendapatan rendah, berjumlah RM59.44 bilion. - DagangNews.com








