LBS Bina peroleh pembiayaan RM88.4 juta untuk projek solar pertama di Negeri Sembilan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

LBS Bina peroleh pembiayaan RM88.4 juta untuk projek solar pertama di Negeri Sembilan

KUALA LUMPUR 9 Jun - LBS Bina Group Bhd melalui syarikat tujuan khasnya, Suria Hijauan Sdn Bhd, memperoleh pembiayaan hijau bernilai RM88.4 juta daripada Alliance Bank Malaysia Bhd bagi membiayai kos pembinaan projek ladang solar pertamanya berkapasiti 43 MWp di Negeri Sembilan.

 

Projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) ladang solar yang terletak di Senawang itu, merupakan sebahagian daripada Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) dan dijangka siap menjelang akhir 2025.

 

Ladang tersebut dijangka menjana sekitar 53,000 MWh tenaga bersih setahun dan mampu mengurangkan lebih 35,000 tan pelepasan karbon setiap tahun.

 

Anak syarikat Solarvest Holdings Berhad, Atlantic Blue Sdn Bhd, dipilih sebagai kontraktor utama projek berkenaan dengan nilai kontrak RM104 juta kerana kepakarannya dalam projek solar berskala besar.

 

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Dr Lim Hock San berkata, pembiayaan hijau itu adalah langkah penting kepada syarikat yang mula meneroka bidang tenaga boleh diperbaharui.

 

"Pembiayaan ini menunjukkan potensi besar projek tenaga hijau kami dan kemampuan untuk mengembangkan usaha dalam bidang ini," katanya seperti laporan New Straits Times.

 

Beliau berkata, langkah tersebut bukan sahaja membantu alam sekitar, malah menyokong perniagaan utama LBS dalam pembangunan hartanah dengan memasukkan elemen tenaga hijau dalam projek akan datangnya.

 

"Secara tidak langsung, ia menyumbang kepada usaha negara mengurangkan pelepasan karbon dan menyokong peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon," ujarnya.

 

Ladang solar tersebut dijangka menjadi sumber pendapatan tetap dan berulang, sekali gus mengukuhkan kekuatan kewangan jangka panjang LBS.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Alliance Bank, Kellee Kam berkata, institusi kewangan memainkan peranan penting dalam memacu pembangunan mampan.

 

"Kami berbangga dapat bekerjasama dengan LBS, syarikat yang berkongsi matlamat dan nilai yang sama dengan kami," jelasnya. - DagangNews.com