Strategi untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia adalah penting untuk mempersiapkan Malaysia menghadapi ketidaktentuan ekonomi global yang berpunca daripada perang tarif antara Amerika Syarikat (AS) dan China.
Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Ridhuan Bos Abdullah berkata Malaysia perlu mencari pasaran baharu bagi "menampan" kesan tarif dan eksport ke AS.
“Negara kecil dan terbuka seperti Malaysia perlu polisi antarabangsa yang dinamik dan pada masa yang sama, Rusia secara relatifnya telah lama maju dalam sektor tertentu seperti sektor pertanian,” kata beliau kepada DagangNews.
Muhammad Ridhuan juga berkata Rusia juga mempunyai ahli ekonomi yang telah membuktikan ekonomi sosialis boleh berkembang dan bertumbuh dengan baik, sekaligus membuka ruang untuk Malaysia mempelajari tentang beberapa perkara berkaitan ekonomi.
“Saya menyokong kerajaan mencari pasaran baharu dan peluang pelaburan di sana bgi mengurangkan ketidaktentuan ekonomi dunia,” jelasnya lagi.
Beliau turut menegaskan bahawa walaupun Malaysia dan Rusia cuba membina kerjasama yang erat, Malaysia masih utuh pada prinsip berkecuali.

Terdahulu, penganalisis menyifatkan bahawa hubungan strategik dengan kuasa besar seperti Russia membuka ruang kerjasama teknologi, perdagangan, keselamatan makanan dan tenaga terutamanya di dalam ekonomi dunia yang semakin kompleks.
Lawatan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ke Moscow menunjukkan dasar luar Malaysia yang matang dan berpandangan jauh dan lawatan ini dijangka membuka banyak pintu kerjasama dua hala yang sebelum ini kurang diterokai.
Ketika pertemuan dua hala antara Anwar dengan Perdana Menteri Rusia Mikhail Mishustin bersama delegasi kedua-dua negara, beliau menzahirkan penghargaan keatas pelbagai mekanisme kerjasama yang telah diwujudkan termasuk Suruhanjaya Bersama Malaysia-Rusia bagi Kerjasama Ekonomi, Saintifik, Teknikal dan Kebudayaan (JCESTC) yang akan bersidang semula di Langkawi hujung tahun ini.
Anwar turut menyatakan hasrat Malaysia untuk menggandakan eksport produk bernilai tambah tinggi ke Rusia seperti peranti perubatan, bahan binaan dan panel solar di samping meningkatkan eksport komoditi utama seperti koko dan minyak sawit.
Perdana Menteri berkata Malaysia turut mengalu-alukan pelaburan langsung asing dari Rusia terutama dalam sektor teknologi tinggi seperti aeroangkasa, ekonomi digital, tenaga dan agroteknologi selain menggalakkan kerjasama penyelidikan dan pembangunan bersama.
Anwar juga berkata kedua-dua pihak turut berbincang mengenai penyambungan semula penerbangan terus Aeroflot ke Malaysia serta langkah-langkah meningkatkan keterhubungan dan pertukaran rakyat antara kedua-dua negara.
Ketika pertemuan antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan Anwar, beliau menyatakan bahawa hubungan Rusia-Malaysia semakin kukuh, sekali gus mengesahkan komitmen kedua-dua negara untuk memperdalam kerjasama yang bermakna dan produktif.

Beliau berkata lawatan rasmi empat hari Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dari 13 hingga 16 Mei, jelas menunjukkan bahawa hubungan dua hala sedang berkembang dengan jayanya dan progresif, dengan kedua-dua pihak menyatakan minat yang tinggi untuk menjadikan kerjasama mereka lebih substantif dan telus.
Menyentuh mengenai BRICS, Putin berkata di bawah kepengerusian Rusia, kategori baharu "negara rakan" telah diwujudkan, dan Malaysia adalah antara negara yang dijemput menyertai aktiviti BRICS dalam kapasiti itu.
"Kami gembira rakan-rakan Malaysia telah menerima jemputan ini, dan kami akan melakukan segala yang perlu untuk memastikan Malaysia dapat menyertai semua mekanisme rakan BRICS dengan pantas," tambahnya.
Lawatan Anwar ke Rusia tersebut sedikit sebanyak membantu Malaysia memperoleh pemahaman yang lebih jelas tentang bagaimana ia boleh beralih daripada menjadi negara rakan kongsi kepada anggota penuh BRICS.
Terdahulu Duta Besar Malaysia ke Rusia Datuk Cheong Loon Lai berkata walaupun Malaysia diterima blok itu sebagai negara rakan kongsi pada 1 Januari tahun ini, organisasi itu masih belum menentukan dengan jelas proses terhadap negara rakan kongsi yang boleh menjadi anggota penuh BRICS.
Setakat ini, masih tiada apa-apa yang ditakrifkan dari segi mekanisme atau bagaimana anggota BRICS melihat Malaysia.

Malaysia secara rasmi menjadi negara rakan kongsi BRICS pada 1 Januari, 2025, berikutan Sidang Kemuncak BRICS ke-16 yang diadakan di Kazan pada Oktober 2024 ketika Rusia mempengerusikan kumpulan itu. BRICS terdiri daripada Brazil, Rusia, India, China, Afrika Selatan, Mesir, Ethiopia, Indonesia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu.
Sementara itu, Rusia adalah rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara Eropah dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion) berdasarkan rekod 2024. - DagangNews.com








