Langkah SkyWorld bina rumah murah di Pulau Pinang berpotensi tingkatkan margin - Mercury Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Langkah SkyWorld bina rumah murah di Pulau Pinang berpotensi tingkatkan margin - Mercury Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Julai — Langkah SkyWorld Development Berhad membina rumah mampu milik di Pulau Pinang dilihat berpotensi dalam meningkatkan margin kumpulan berkenaan, kata Mercury Securities.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, usaha pemaju hartanah itu diyakini dapat memperkukuhkan daya tahan margin kerana lokasi projek kediaman berkenaan di Bandar Cassia, Batu Kawan amat strategik.

 

Tambahnya, ia melihat harga tanah juga sebagai menarik kerana pertimbangan pembelian sebanyak RM48.5 juta hanya mewakili kos kepada nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira 5.7 peratus.

 

"Ini jauh rendah berbanding purata sejarah sebelum ini iaitu 14 hingga 16 peratus dan membolehkan SkyWorld mengurus turun naik kos input dengan lebih baik," kata Mercury Securities dalam notanya.

 

Kos tanah yang rendah diperoleh daripada Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang katanya, dijangka membantu kumpulan berkenaan mengekalkan keuntungan sepanjang kemajuan projek masa depan.

 

Selain itu tambahnya, ia sebahagian perjanjian pengambilalihan meliputi keluasan 65.3 hektar dan membuka laluan kepada SkyWorld melancarkan skim perumahan kos rendah pertamanya di negeri ini.

 

Mercury Securities berkata, potensi lokasi adalah positif kerana keseluruhan GDV projek berkenaan dianggarkan RM849 juta dan disasarkan untuk dilancarkan pada separuh kedua tahun kewangan 2026.

 

"Walaupun SkyWorld memiliki keterlihatan pendapatan yang kukuh, sahamnya masih berprestasi rendah, dengan merosot 23 peratus setakat ini yang kami percaya adalah penilaian tidak wajar," katanya.

 

Justeru, memandangkan perancangan projek SkyWorld sendiri selama ini teguh dan hasil dividen bersih yang lumayan sebanyak 3 peratus, ia mengulangi pendirian prospek stabik kumpulan tersebut.

 

Berdasarkan perkembangan semasa itu, Mercury Securities masih lagi mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran yang tidak berubah sebanyak 64 sen sesaham. - DagangNews.com