KUALA LUMPUR 10 Julai — Usaha terkini Gamuda Berhad yang menceburi segmen kecerdasan buatan (AI) dijangka melonjakkan hasil kumpulan mulai FY26, menurut AmInvestment Bank Research (AmInvest).
Firma penyelidikan tersebut berkata, langkah itu dapat dilihat apabila ia mengembangkan jejaknya sebagai tonggak perniagaan ketiga selepas aktiviti pembinaan dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Kumpulan berkenaan tambahnya, sedang menggerakkan dua inisiatif strategik utama iaitu usaha sama (JV) dengan Dagang Nexchange Berhad (Dnex) dan pelaburan minoritinya dalam Cloud Space Sdn Bhd.
"Gamuda serius mengintai pasaran awan awam dan swasta di Malaysia, selain bekerjasama dengan Google Distributed Cloud (GDC) yang memberinya kelebihan daya saing," kata AmInvest dalam nota kajiannya.
Tambah firma berkenaan, perkhidmatan GDC diakui meliputi perolehan perkakasan, penyelesaian AI, pembangunan aplikasi, sokongan pelanggan, pemindahan data dan penyelenggaraan prasarana digital.
Jumlah potensi luas pasaran yang boleh ditangani untuk pelbagai peluang perkhidmatan awan AI di seluruh Malaysia, katanya dianggarkan pada ketika ini sudah pun mencecah sebanyak RM40 bilion.
Inisiatif ini boleh menyumbang secara bermakna mulai FY26 dan seterusnya, yang berpotensi besar menawarkan peningkatan kepada ramalan AmInvest, kerana tiada sumbangan diambil kira buat masa ini.
"Kami sudah bertemu dengan pihak pengurusan kumpulan ini dan melawat Gamuda Innovation Hub yang membayangkan unjuran positif kepada masa depan syarikat dalam perniagaan teknologi," katanya.
Berdasarkan perkembangan yang cukup menggalakkan itu, firma penyelidikan berkenaan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran turut tidak berubah kepada RM5.50 sesaham. - DagangNews.com








