KUALA LUMPUR 5 Ogos — Keputusan Axis Real Estate Investment Trust (Axis REIT) memperoleh gudang logistik di Telok Gong, Klang pada harga RM80 juta diunjur memberi kesan baik, kata penganalisis.
RHB Research berkata, pembelian itu adalah proksi kepada segmen hartanah perindustrian yang berdaya tahan dan berkembang dengan ia mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut.
Tambahnya, meskipun tanah seluas 4.12 hektar mungkin kecil, pemerolehan itu menyokong strategi berterusan amanah pelaburan hartanah (REIT) menyampaikan pertumbuhan bukan organik yang konsisten.
"Harga belian membayangkan hasil kasar sebanyak 6.4% yang munasabah, memandangkan aset itu dipajak penuh dalam tempoh enam tahun, dan terletak secara strategik dalam hab logistik utama,” katanya.
Pada masa yang sama, firma penyelidikan itu menaikkan unjuran pendapatan tahun kewangan 2027 sebanyak 1% untuk mencerminkan sumbangan sewa baharu, sambil melaraskan kos pembiayaan tambahan.
Bagaimanapun memandangkan pelarasan kecil, RHB Research mengekalkan harga sasaran (TP) sebanyak RM2.23, membayangkan hasil FY26 sebanyak 4.6%, yang adil dan prospek stabil bagi aset industri.
Sementara itu BIMB Securities juga positif terhadap Axis REIT, dan menyatakan ia konsisten dengan strategi perluasan pendedahan logistik melalui aset berpendapatan yang lebih berkualiti tinggi.
Ia turut berkata, selepas pemerolehan gudang itu selesai, pertambahan pendapatan dijangka daripada tahun kewangan 2026, menyumbang kira-kira 1% hingga 2% kepada pendapatan yang boleh diagihkan.
"Hartanah disewa sepenuhnya memastikan keterlihatan serta-merta, manakala hasil 6.4% dan impak penggearan sederhana menjadikan tambahan hasil menyokong pertumbuhan nilai aset bersih," katanya.

Pengambilalihan fasiliti berkenaan dengan keluasan boleh disewakan iaitu 24,090 meter persegi katanya, turut mengukuhkan kedudukan kumpulan sebagai REIT perindustrian terkemuka Malaysia.
Mengenai prospek Axis REIT, firma penyelidikan tersebut berkata, trajektori hasil REIT kekal positif, disokong oleh pertumbuhan sewa dan sasaran pemerolehan RM430 juta untuk tahun ini.
"Strategi kumpulan berkenaan harus memacu nilai dan pertambahan pendapatan selanjutnya. Justeru kami masih lagi mengekalkan panggilan 'beli' dengan TP RM2.17 sesaham," kata BIMB Securities.
Jika pada RM2.01, ia menawarkan anggaran 13% jumlah pulangan, menggabungkan kenaikan harga 8% dan hasil 5%, disokong pengembangan portfolio berterusan dan penambahan aset akretif pendapatan.
Sementara itu, MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Axis REIT, dengan menyatakan ia positif sedikit terhadap pembelian gudang itu kerana sejajar dengan strategi pengembangannya.
Pemerolehan aset menerusi kaedah pengambilalihan itu merupakan pembelian pertama Axis-REIT pada FY25 dan mengambil perhatian bahawa kumpulan tersebut menyasar untuk mengembangkan portfolionya.
"Ini termasuk melalui pemerolehan aset dengan anggaran nilai sasaran RM430 juta pada suku kedua FY25, manakala pemerolehan aset terkini menandakan pelaksanaan sasaran pemerolehan," katanya.
Dalam menyemak semula pendapatannya, MBSB Research berkata, ia meletakkan TP yang lebih tinggi sebanyak RM2.07 daripada RM2.06, berdasarkan model diskaun dividen. - DagangNews.com








