KWSP mahu teliti nasihat perunding bebas mengenai tawaran RM11 bilion Sunway ke atas IJM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWSP mahu teliti nasihat perunding bebas mengenai tawaran RM11 bilion Sunway ke atas IJM

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 2 Mac - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), satu daripada pemegang saham terbesar IJM Corp Bhd, masih belum membuat keputusan sama ada akan menerima tawaran pengambilalihan sukarela oleh Sunway Berhad ke atas kumpulan pembinaan itu, dan ingin meneliti terlebih dahulu nasihat perunding bebas yang dijangka dikeluarkan pada 16 Mac ini.

 

“Kami sedang menunggu surat pekeliling nasihat bebas, yang dijangka dikeluarkan pada 16 Mac,” kata Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn semasa pengumuman dividen KWSP 2025 pada Sabtu lepas.


 

KWSP

 


Beliau berkata KWSP akan membuat keputusan sama ada menerima tawaran itu selepas menerima surat pekeliling tersebut.

 

Pada 12 Januari, Sunway mencadangkan tawaran pengambilalihan sukarela bersyarat untuk memperoleh kesemua 3.51 bilion saham IJM pada harga RM3.15 sesaham.

 

Kumpulan itu berkata, sekiranya tawaran tersebut diterima sepenuhnya tanpa sebarang penyesuaian harga, jumlah pertimbangan adalah kira-kira RM11 bilion, yang akan dibayar melalui gabungan tunai dan penerbitan saham biasa baharu Sunway.

 

Sunway menjangkakan tawaran ini akan diselesaikan pada suku ketiga 2026.

 

Dalam tawaran tunai dan saham pada Januari lalu, Sunway menilai kumpulan pembinaan dan hartanah berinfrastruktur itu pada RM3.15 sesaham atau RM11 bilion. Saham IJM ditutup 2.33% lebih rendah pada RM2.51 pada Jumaat, memberikan permodalan pasaran sebanyak RM9.16 bilion.

 

Aset IJM termasuk konsesinya untuk Lebuhraya Sungai Besi, Lebuhraya Pantai Baru dan Lebuhraya Kajang-Seremban, di samping pegangan 28.12% dalam WCE Holdings Bhd, serta anak syarikat swasta Industrial Concrete Products Bhd, yang penyenaraiannya boleh membuka nilai syarikat tersebut.


 

Jeff Chia

 


Pada Jumaat, pengasas Kumpulan Sunway, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah menegaskan, pemegang saham IJM tidak diwajibkan untuk menjual dan bebas membuat keputusan sama ada menerima atau menolak tawaran itu.

 

“Saya tekankan tiada pengambilalihan paksa. Sunway tidak menekan atau menzalimi sesiapa. Ini semata-mata atas tujuan komersial. Kami melihat IJM sebagai aset yang menarik,” kata Cheah.

 

Ini susulan Sunway menaikkan bahagian tunai dalam tawaran kepada 32.5 sen sesaham IJM, daripada 31.5 sen, dengan tawaran turut merangkumi 0.501 saham Sunway bagi setiap saham IJM.

 

Ini bermakna setiap blok 1,000 saham IJM akan memberikan pemegangnya RM325 tunai, berserta 501 saham Sunway bernilai RM2,830.65 pada harga terbitan.

 

Media melaporkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan yang memegang saham dalam IJM kurang berminat dengan tawaran Sunway, sebahagiannya kerana ia bukan tawaran tunai sepenuhnya.

 

 

 

 

Tawaran Sunway adalah bersyarat ke atas penerimaan 50% plus satu saham. KWSP memegang lebih 20% saham dalam IJM, diikuti Permodalan Nasional Bhd (PNB) dengan kurang 13.5%, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (KWAP) dengan 9.64%, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (2.84%) dan Lembaga Tabung Haji (1.47%), berdasarkan data awam terkini.

 

PNB pula berkata ia akan menilai tawaran itu berdasarkan pertimbangan komersial, termasuk pulangan pelaburan berdasarkan nilai intrinsik dan masa depan IJM, pertimbangan tunai dan nilai anggaran saham pertukaran yang ditawarkan, lapor Bernama pada 6 Februari.

 

Awal Februari lalu, IJM memperoleh lanjutan tarikh akhir 16 Mac bagi menyerahkan surat pekeliling bebas mengenai tawaran pengambilalihan itu. Tawaran ini dibuka untuk diterima sehingga 6 April. - DagangNews.com