KUALA LUMPUR 10 Jun - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) membeli 0.07 peratus saham dalam 99 Speed Mart Retail Holdings Bhd, bukannya 5 peratus seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Menurut pengumuman terkini yang dikemas kini 99 Speed Mart kepada Bursa Malaysia, KWSP membeli sebanyak 6 juta unit saham syarikat rantaian pasar mini itu pada 4 Jun lalu.
"Laporan sebelum ini yang menyatakan KWSP membeli 421.79 juta saham atau 5.02 peratus kepentingan dalam syarikat adalah satu kesilapan," katanya.
Dengan pembelian baharu tersebut, pegangan keseluruhan KWSP meningkat kepada 5.02%, sekali gus melepasi 5% yang membolehkannya diiktiraf sebagai pemegang saham utama.
Ketua Pegawai Eksekutif 99 Speed Mart, Lee Thiam Wah, masih memegang saham terbesar dalam syarikat dengan 79.68% pegangan.
Suruhanjaya Sekuriti Malaysia sebelum ini memberi pengecualian kepada 99 Speed Mart daripada syarat pegangan awam minimum 25% semasa penyenaraian syarikat itu.
99 Speed Mart disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada September tahun lalu dengan harga permulaan RM1.65 sesaham. - DagangNews.com








