KWAP labur sehingga RM190 juta dalam platform usaha sama KJTS, Stonepeak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KWAP labur sehingga RM190 juta dalam platform usaha sama KJTS, Stonepeak

Azura Azman, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KJTS Group Berhad
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 26 Mac - KJTS Group Berhad mengumumkan penyertaan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP), dana pencen sektor awam negara, sebagai pelabur dalam platform usaha sama penyejukannya, Lestari Cooling Energy Sdn. Bhd.

 

KWAP dijangka komited untuk melabur sehingga kira-kira RM190 juta, sekali gus mengukuhkan profil Lestari Cooling Energy serta memperkukuh strategi syarikat.

 

Pelaburan KWAP, yang disalurkan melalui inisiatif berfokus iklim pertama Malaysia, Dana Iklim+, menandakan satu langkah penting dalam peralihan tenaga negara.

 

Lestari Cooling Energy menyokong secara langsung Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dengan membolehkan kecekapan tenaga pada skala besar, kata KJTS dalam pemakluman di Bursa Malaysia.

 

"Dengan sokongan KJTS, Stonepeak dan KWAP, Lestari Cooling Energy berada pada kedudukan kukuh untuk mempercepat pelaksanaan infrastruktur penyejukan berkecekapan tinggi bagi menyokong pengurangan karbon negara serta pembangunan bandar jangka panjang.

 

"Seperti diumumkan sebelum ini, usaha sama tersebut dijangka mempunyai permodalan sehingga RM1.5 bilion melalui gabungan komitmen pelaburan dan pembiayaan hutang, dengan sasaran membangunkan portfolio projek penyejukan daerah yang berdaya laksana dan semakin berkembang. Pada tahap pelaksanaan penuh, syarikat dijangka menjana penjimatan lebih 70,000 tan pelepasan karbon dioksida (tCO2) setahun," kata KJTS lagi.


 

KWAP

 


Selain manfaat alam sekitar, Lestari Cooling Energy menawarkan rumusan yang kos efektif dan berskala kepada perniagaan tempatan serta pemilik bangunan untuk mengurangkan kesan kenaikan kos elektrik, yang merupakan cabaran operasi utama. Impak dua hala ini — kelestarian dan daya tahan ekonomi — selaras dengan komitmen KWAP di bawah program GEAR-uP Kementerian Kewangan untuk merangsang pertumbuhan sektor ekonomi utama serta memperkasa syarikat tempatan.

 

“Kami berbesar hati mengalu-alukan KWAP sebagai pelabur dalam Lestari Cooling Energy ketika kami terus mengembangkan perniagaan penyejukan daerah,” kata Azura Azman, Pengerusi Bebas Bukan Eksekutif KJTS.

 

“Gabungan kepakaran infrastruktur global Stonepeak, kehadiran institusi domestik KWAP yang kukuh serta keupayaan operasi KJTS meletakkan kerjasama ini pada kedudukan terbaik untuk menyediakan infrastruktur penyejukan jangka panjang yang mampan, selari dengan agenda transformasi tenaga dan kelestarian Malaysia,” kata beliau. - DagangNews.com