Kumpulan Bank Dunia menerusi IFC labur RM60 juta dalam IPO Sunway Healthcare | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kumpulan Bank Dunia menerusi IFC labur RM60 juta dalam IPO Sunway Healthcare

Pengasas dan Pengerusi Sunway Group, Jeffrey Cheah pada pelancaran rasmi penyenaraian Sunway Healthcare di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 18 Mac 2026.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 20 Mac - Kumpulan Bank Dunia, menerusi International Finance Corporation (IFC), melabur sebanyak RM60 juta sebagai pelabur teras dalam tawaran awam permulaan (IPO) Sunway Healthcare Holdings Bhd.

 

IFC berkata, pelaburan itu akan membolehkan syarikat meningkatkan kapasiti katil hospital, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan serta membiayai pelaburan selaras dengan strategi pengembangannya di Malaysia.

 

“Hasil daripada IPO akan digunakan bagi memperluas rangkaian hospital Sunway Healthcare di Malaysia.

 

“Pelaburan ini juga akan membolehkan syarikat meningkatkan kapasiti katil, mewujudkan lebih banyak pekerjaan serta menyokong pelaburan yang sejajar dengan strategi pengembangannya,” menurut kenyataan bersama IFC dan Sunway Healthcare.


 

World Bank Group country manager for Malaysia, Judith Green

 


Pengurus Negara Malaysia bagi World Bank Group, Judith Green berkata, pelaburan tersebut selari dengan aspirasi bersama Malaysia dan Kumpulan Bank Dunia untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan, mewujudkan lebih banyak pekerjaan berkualiti serta menyokong keperluan demografi dan penjagaan kesihatan yang semakin berkembang.

 

Sementara itu, Presiden dan Pengarah Eksekutif Bukan Bebas Sunway Healthcare, Lau Beng Long berkata, pelaburan IFC mencerminkan keyakinan kukuh terhadap visi jangka panjang kumpulan untuk memperluas akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti tinggi dan bersepadu di Malaysia.

 

“Kerjasama ini juga mengukuhkan komitmen kami dalam menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya dalam mempromosikan kesihatan dan kesejahteraan serta memperkukuh sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan,” katanya.

 

IFC turut memaklumkan, pelaburan kesihatannya bagi tahun kewangan 2025 telah memberi manfaat kepada lebih 68 juta orang di seluruh dunia melalui penambahbaikan perkhidmatan kesihatan.

 

"Ini sekali gus menyokong misi lebih luas Kumpulan Bank Dunia untuk mencapai 1.5 bilion penduduk dengan akses kepada perkhidmatan kesihatan berkualiti menjelang 2030," kata IFC. - DagangNews.com