KUALA LUMPUR 7 April – Suruhanjaya Tenaga (ST) mengakui bekalan gas kini dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik, serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas.
Insiden letupan gas di Putra Heights telah menyebabkan gangguan bekalan gas kepada empat stesen janakuasa utama yang berada di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa (SJ) Connaught Bridge, SJ Pulau Indah, SJ Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan SJ Putrajaya.
"Suruhanjaya inibersama beberapa entiti operasi terlibat dalam pembekalan gas dan elektrik termasuk Grid System Operator, Single Buyer, Gas Malaysia Berhad, Penjana bebas, Petronas dan TNB Fuel Sdn. Bhd. sedang memantau secara terperinci situasi pembekalan elektrik dan gas di Semenanjung Malaysia.
"Antaranya menilai kesan gangguan bekalan gas, langkah-langkah mitigasi dan pelan interim, dengan mengambil kira pelbagai senario sehingga keadaan pulih," kata suruhanjaya itu dalam satu kenyataan hari ini.
Situasi Bekalan Gas Bekalan gas di Semenanjung Malaysia terganggu di beberapa kawasan di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta di beberapa kawasan di zon utara.
Beberapa pengguna yang terkesan telah mula menerima notis sekatan daripada pembekal masing-masing sehingga 20 April 2025.
Namun begitu, Suruhanjaya Tenaga menjamin bahawa bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil, antaranya:
(i) pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu;
(ii) kesiapsediaan (standby) pengoperasian stesen janakuasa yang terkesan menggunakan distillate fuel dan MFO; dan
(iii) pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan (power dispatch) yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko.
"Langkah-langkah mitigasi interim sedang diteliti secara berterusan. ST juga akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna-pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat ini.
"Insiden letupan paip gas ini merupakan insiden terpencil di Semenanjung Malaysia.
"Oleh itu, pihak ST menyeru pihak-pihak yang terlibat untuk terus bekerjasama dan kepada semua pengguna untuk sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama," kata suruhanjaya itu. - DagangNews.com








