KUALA TERENGGANU 24 Mac - Pemilihan bandar raya Kuala Terengganu sebagai destinasi pelancongan yang termurah di Malaysia dan keenam di Asia bakal memberi impak positif terhadap penggiat industri pelancongan di negeri yang terkenal dengan ikon penyu tersebut.
Kuala Terengganu mengungguli senarai destinasi pelancongan termurah di Malaysia melalui satu analisis yang diterbitkan platform pelancongan digital, Agoda baru-baru ini.
Berdasarkan senarai Agoda itu, bandar raya Kuala Terengganu menawarkan kadar purata bilik keenam termurah di Asia iaitu RM213 untuk satu malam bagi tempoh percutian pada April dan Mei ini.
Bandar Phong Nha di Vietnam pula muncul destinasi paling murah di Asia dengan purata harga bilik serendah RM124 satu malam diikuti Tirupati di India (RM150) dan Hat Yai di Thailand (RM177).
Destinasi keempat ialah Padang di Indonesia (RM177), Bacolod di Filipina (RM204), Kuala Terengganu di Malaysia, Gimpo di Korea Selatan (RM293), Narita di Jepun (RM315) dan Pingtung di Taiwan (RM351).

Beberapa penggiat industri pelancongan menyifatkan khabar gembira itu sebagai satu suntikan semangat yang sangat positif untuk mereka menawarkan perkhidmatan yang terbaik kepada pelancong.
Pengusaha batik dan songket, Nur Nadeera Sulong berkata, Kuala Terengganu adalah satu destinasi pelancongan yang kaya dengan pelbagai tarikan istimewa yang menjadi buruan pelancong dari dalam dan luar negara.
"Ramai yang mengakui mereka jatuh hati apabila kali pertama datang ke Terengganu khususnya ke bandar raya ini yang terkenal dengan 1,001 sejarah dan sarat dengan ketinggian budayanya.
"Walaupun boleh membeli batik dan songket secara atas talian, masih ramai yang sanggup datang ke Kuala Terengganu untuk mendapatkannya secara terus dari pengusaha yang ada.
"Pemilihan Kuala Terengganu sebagai destinasi termurah di Malaysia oleh Agoda diharap akan menarik lebih ramai pelancong pada masa akan datang," katanya.
Lima kluster pelancongan utama yang menjadi fokus kerajaan negeri ketika ini ialah pulau dan pantai, alam semulajadi, seni dan kebudayaan, Kenyir Geopark dan Jejak Kuala Terengganu.
Peniaga Pasar Kedai Payang, Ahmad Haiqal Ridzuan pula berharap Kuala Terengganu akan kekal mengungguli senarai destinasi pelancongan termurah itu kerana memberi kesan tempias yang positif buat mereka.
"Pasar Kedai Payang antara tarikan utama pelancong yang datang ke Kuala Terengganu kerana mereka boleh mendapatkan pelbagai jenis produk kraf, warisan, makanan tradisional, batik, songket dan emas pada harga paling murah di sini.
"Tidak keterlaluan jika dikatakan Pasar Kedai Payang adalah antara nadi ekonomi utama di bandar raya ini selain keindahan pantai dan kepelbagaian makanan tradisi yang menjadi tarikan pelancongan.

"Kami akan manfaatkan sepenuhnya peluang ini untuk melayani pelancong, memperkenalkan mereka dengan keunikan budaya masyarakat Terengganu agar kekal menjadi destinasi popular di dunia," katanya.
Antara tarikan menarik lain di Kuala Terengganu ialah Kampung Budaya Terengganu, pusat tenunan Kompleks Tuanku Nur Zahirah, pusat pengeluaran songket dan batik, Bukit Puteri, Pantai Batu Buruk, Masjid Kristal, Jambatan Angkat Kuala Terengganu dan Kampung Cina. - DagangNews.com








