KPK kaji mekanisme kredit karbon dalam rangka MSPO, nilai tambah industri sawit negara - Noraini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

KPK kaji mekanisme kredit karbon dalam rangka MSPO, nilai tambah industri sawit negara - Noraini

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad

KUALA LUMPUR 27 April - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) sedang meneroka pembangunan secara berfasa mekanisme berkaitan karbon melalui Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), termasuk menilai kesesuaian model kredit karbon yang selaras dengan industri sawit negara.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, usaha tersebut turut melibatkan kajian terhadap aspek tadbir urus institusi; pemantauan, pelaporan dan pengesahan (MRV) serta pemilikan data; selain potensi penjanaan nilai tambah kepada pemain industri.

 

“Ini bagi memastikan sebarang mekanisme yang dibangunkan adalah kredibel, dipercayai pasaran dan praktikal untuk dilaksanakan di lapangan tanpa menjejaskan asas serta kredibiliti pensijilan MSPO, khususnya melibatkan pekebun kecil,” katanya kepada Bernama.

 

Menurut Noraini, secara prinsipnya kementerian berpandangan usaha memperkukuh elemen kelestarian dalam MSPO termasuk pengurangan, pengurusan dan pelaporan pelepasan karbon adalah selari dengan keperluan pasaran global serta komitmen Malaysia terhadap agenda perubahan iklim.

 

“Dalam konteks ini, cadangan untuk mengintegrasikan elemen kredit karbon dalam MSPO dilihat mempunyai potensi nilai tambah kepada industri.

 

“Namun, pelaksanaannya memerlukan kajian dan penilaian yang teliti serta berfasa, khususnya dari segi kesediaan data, keteguhan sistem pengukuran, MRV serta kesesuaian dengan struktur industri tempatan termasuk pekebun kecil,” katanya.

 

Fokus kukuhkan asas MSPO sedia ada

Dalam pada itu, beliau berkata keutamaan semasa KPK adalah memperkukuh asas pelaksanaan pensijilan MSPO sedia ada.

 

Ini termasuk meningkatkan pengiraan dan pelaporan gas rumah hijau (GHG), memperkukuh ketelusan serta integriti data, dan memperbaiki sistem kebolehkesanan rantaian bekalan.

 

“Akhirnya, sebarang pembangunan MSPO termasuk penerokaan elemen kredit karbon akan dilaksanakan berdasarkan kajian dan penilaian menyeluruh.

 

“Pelaksanaan akan melibatkan libat urus dengan kementerian dan agensi berkaitan, pemain industri, pakar serta rakan antarabangsa bagi memastikan keseimbangan antara daya saing pasaran, keperluan pematuhan global dan kepentingan negara,” jelasnya.

 

Cadangan MSPO 3.0 dan rangka kerja karbon sawit

Pada Disember tahun lalu, Pengerusi Felda Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mencadangkan pengenalan protokol peningkatan karbon dalam pensijilan MSPO, sekali gus menjadikannya MSPO 3.0.

 

Beliau berkata MSPO 3.0 akan mengintegrasikan mekanisme perakaunan karbon dan kredit karbon dalam proses pensijilan.

 

Ahmad Shabery turut mencadangkan penubuhan pasukan petugas nasional yang dipengerusikan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar bagi memastikan Malaysia membangunkan rangka kerja kredit karbon berasaskan kelapa sawit. - DagangNews.com