KUALA LUMPUR 9 Feb – KPJ Healthcare Berhad melantik Profesor Datuk Dr Hanafiah Harunarashid sebagai Ketua Pengarah Perubatan baharu, selaras dengan agenda transformasi Kumpulan untuk memperkukuh KPJ Health System serta tadbir urus klinikal di seluruh rangkaian hospitalnya.
Pelantikan itu mencerminkan komitmen berterusan KPJ Healthcare terhadap peningkatan keselamatan pesakit, pematuhan standard penjagaan yang konsisten serta pengukuhan sistem kualiti klinikal di peringkat Kumpulan.
Ketika ini, Dr Hanafiah ialah Profesor Pembedahan Vaskular di Universiti Kebangsaan Malaysia dan turut berkhidmat sebagai Pro Naib Canselor.
KPJ Healtcare dalam satu kenyataan memaklumkan Dr Hanafiah turut memainkan peranan penting dalam kepimpinan perubatan negara sebagai Master Akademi Perubatan Malaysia dan ahli majlis dalam Majlis Perubatan Malaysia.
Beliau mempunyai rekod kepimpinan yang luas termasuk pernah menyandang jawatan Presiden Kolej Pakar Bedah, Akademi Perubatan Malaysia, Presiden Asian Surgical Association serta Penasihat Pembedahan Antarabangsa kepada Royal College of Surgeons of Edinburgh.
Sebelum ini, beliau berkhidmat sebagai Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz dan menerajui pelbagai inisiatif utama berkaitan keselamatan pesakit, penambahbaikan kualiti serta pembaharuan institusi hospital tersebut.

Di bawah kepimpinannya, Hospital Canselor Tuanku Muhriz mencatat pencapaian penting apabila menjadi hospital pengajar pertama di Malaysia yang memperoleh akreditasi daripada Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH).
Sebagai Ketua Pengarah Perubatan, beliau akan menyelia penyelarasan tadbir urus klinikal, sistem kualiti serta penglibatan klinikal di seluruh KPJ Healthcare bagi memastikan pematuhan standard yang konsisten serta memperkukuh kepercayaan, akauntabiliti dan kemampanan jangka panjang Kumpulan.

Presiden dan Pengarah Urusan KPJ Healthcare, Chin Keat Chyuan berkata pelantikan jawatan Dr Hanafiah sebagai Ketua Pengarah Perubatan merupakan peranan tadbir urus yang kritikal bagi Kumpulan.
“Seiring dengan pertumbuhan KPJ yang kini beroperasi pada skala yang besar, kepimpinan klinikal yang kukuh amat penting bagi memastikan standard yang konsisten, keselamatan pesakit serta akauntabiliti di seluruh hospital kami.
“Profesor Hanafiah mempunyai pengalaman klinikal, akademik dan tadbir urus yang luas untuk menggalas tanggungjawab ini sekali gus memacu penyelarasan amalan klinikal dan sistem kualiti di peringkat Kumpulan, selaras dengan komitmen Care for Life,” katanya.
Pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Ketua Pengarah Perubatan terdahulu, Profesor Emeritus Datuk Dr Lokman Saim, yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Perubatan pertama KPJ Healthcare pada Januari 2025. - DagangNews.com








